Rakyat yang mematuhi undang-undang dan orang ramai yang menderita akibat SOP COVID-19 marah dengan jawapan tidak masuk akal Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bahawa Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein tidak perlu meletakkan jawatan selepas dikenakan denda kerana melanggar protokol COVID-19 kerana ini bukan satu jenayah. Hishammuddin Hussein, penyandang Menteri Besar Johor Hasni Mohammad dan Presiden MIC S Vigneswaran telah dikesan bergaul rapat dengan sekumpulan besar ahli politik di acara MIC di Johor yang secara jelas melanggar SOP COVID-19.
Ismail Sabri telah cuba mempertahankan Hishamuddin bahawa kesalahannya bukan satu jenayah tetapi hanya kompaun RM1,000. Ismail lupa bahawa ini adalah soal tanggungjawab peribadi dan akauntabiliti awam bagi seorang Menteri seperti Hishamuddin, yang juga mempengerusikan Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 yang diamanahkan untuk menggesa pematuhan orang ramai dalam mengurus dan mengumumkan SOP COVID-19.
Bagaimana Hishamuddin boleh menarik perhatian orang ramai tentang betapa seriusnya COVID-19 dan keperluan untuk mematuhi SOP COVID-19 jika beliau tidak menunjukkan kepimpinan melalui teladan dan secara terang-terangan melanggar protokol yang telah beliau sendiri perkenalkan. Apabila seorang penggubal undang-undang bertukar menjadi pelanggar undang-undang seperti yang terjadi kepada Hishamuddin dan Hasni, mereka perlu meletakkan jawatan seperti yang dilakukan oleh banyak Menteri di mana-mana demokrasi yang berfungsi di Barat.
Hishamuddin telah cuba menyalahkan penganjur acara politik itu kerana gagal mengawal orang ramai sehingga menimbulkan syak wasangka terhadap amalan pilih kasih politik dan mengapa MIC serta semua peserta tidak dihukum. Selain daripada Hishamuddin melanggar SOP yang telah ditetapkan oleh beliau sendiri, Ismail Sabri juga tidak serius untuk memerangi gelombang terbaru COVID-19.
Ismail tidak memanggil sebarang mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 (yang saya merupakan salah seorang ahli) sejak mesyuarat terakhir pada 5 November 2021. Jika gelombang ketiga pandemik COVID-19 adalah satu ancaman yang serius, mengapa tiada mesyuarat untuk jawatankuasa tertinggi COVID-19 di peringkat kebangsaan sejak 100 hari yang lalu?
Atau adakah sikap sambil lewa Ismail dan Menteri-Menterinya disebabkan oleh pandemik COVID-19 sudah menjadi endemik seperti selesema biasa? Ini menimbulkan syak wasangka tentang tahap sebenar gelombang terbaru jangkitan COVID-19 dan sama ada ia telah dipolitikkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memanfaatkan kepentingan sesetengah parti politik, terutama pada pilihan raya negeri Johor akan datang.
Dengan tiada mesyuarat COVID-19 selama 100 hari, tiada tanggungjawab peribadi oleh pemimpin untuk pematuhan, tiada akauntabiliti awam terhadap protokol COVID-19, lebih baik kerajaan juga membenarkan pembukaan semula sepenuhnya ekonomi, masyarakat dan sempadan dengan tertakluk kepada SOP biasa bagi mereka telah divaksin sepenuhnya. Inilah yang telah dilakukan oleh banyak negara lain seperti Australia bagi membuka semula sepenuhnya sempadan negara kepada pelancong yang telah divaksin sepenuhnya.
Jika Menteri boleh melanggar SOP sebegitu dengan hanya denda RM1,000, apakah yang menghalang penganjur acara lain daripada menganjurkan acara yang sama? Bagi memastikan kesaksamaan dan keadilan, acara dan ceramah awam seperti itu harus dibenarkan dan dibuka kepada semua sama ada dalam arena politik atau perniagaan.