Skip to content

Ucapan ADUN Kawasan Jalong Loh Sze Yee dalam membahas Titah Perasmian DYMM Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan

Terima Kasih Dato Seri Yang Di Pertua.

Saya bangun untuk menjunjung kasih tuanku dan membahas titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Pemangku Sultan semasa pembukaan dewan yang mulia ini.

Dalam perkara ke 48 dan 49, tuanku bertitah setiap kerajaan bertanggungjawab membangunkan negeri, meningkatkan ekonomi dan menjaga kesejahteraan rakyat. Kegagalan pemimpin akan diadili rakyat ketika di dunia dan ketika di akhirat tanggungjawab ini akan diadili oleh Tuhan. Pemerintahan yang adil akan dilimpahi rahmat dan mendapat keberkatan. Saya cukup bersetuju dengan titah tuanku tersebut. Sesebuah kerajaan tidak boleh berbangga sekiranya ia hanya tahu menjana kekayaan tetapi ia perlu juga tahu cara menggunakan kekayaan itu untuk memastikan kesemua rakyatnya mendapat bahagian dalam kekayaan itu secara saksama.

Dato Seri Yang Di Pertua,

Dalam kajian OXFAM 2014 ada melaporkan 85 individu terkaya dalam dunia ini memiliki/mengawal jumlah aset yang lebih kurang sama dengan jumlah aset 50% penduduk dunia yang termiskin atau lebih kurang 3.5 bilion orang. OXFAM adalah sebuah konfederasi 17 organisasi yang bergerak di lebih 90 negara di serata dunia dalam usahanya membantu golongan miskin. Manakala dalam laporan United Nations University pula melaporkan bahawa 1% individu yang paling kaya dalam dunia ini pula memiliki lebih kurang 40% aset global pada tahun 2000.

Di Amerika Syarikat pula, POLITIFACT, sebuah gabungan pemberita dan penyunting media bebas pula mendapati dalam kajiannya 400 orang terkaya dalam Amerika Syarikat mengawal kekayaan yang sama nilainya dengan separuh rakyat yang termiskin di Amerika Syarikat. Trend ini bukan sahaja terjadi di Amerika dan negara-negara maju tetapi pelbagai kajian di serata dunia menunjukkan jurang pendapatan menjadi semakin lebar di kebanyakan negara-negara dalam dunia dengan hanya sekelompok kecil negara yang terkecuali daripada trend ini.

Pada hakikatnya negara kita juga mengalami trend yang sama di mana jurang pendapatan menjadi semakin lebar atau dengan kata lain yang lebih kurang bermaksud yang kaya menjadi semakin kaya manakala yang miskin menjadi semakin miskin. Kalau ditanya pendapat golongan akademik atau ahli ekonomi, mereka mungkin menerangkannya dalam bentuk pendapatan per kapita, Human Development Index(HDI), GINI coefficient dan sebagainya. Bagi saya, ia lebih mudah dijelaskan sebagai apabila seorang daripada golongan elit bekerja sebulan maka gaji/pendapatan yang diperolehinya sama dengan seorang jelata/kebiasaan terpaksa bekerja selama setahun atau mungkin dua. Ini jelas dapat dilihat apabila masih ramai kakitangan kerajaan/swasta yang mendapat pendapatan sebanyak lebih kurang seribu Ringgit(RM1000.00) sebulan tetapi Pengurus/Pengarah dalam organisasi yang sama boleh membawa pulang dua puluh ke tiga puluh ribu Ringgit (RM20000 – RM30000) sebulan. Dan angka ini belum mengambil kira golongan super rich. Ini cukup cukup memilukan dan ia melangkaui segala batasan perkauman, agama dan sebagainya. Seorang yang lapar tidak akan menjadi lebih atau kurang laparnya jika berlainan warna kulit atau agamanya. Seorang yang sakit tidak akan sembuh atau menjadi lebih tenat kerana perbezaan pendapat politiknya.

Betul kita tidak boleh dan tidak patut menghalang golongan yang pandai menjana pendapatan untuk menjana lebih aset persendirian kerana pada amnya, ekonomi secara langsung atau tidak langsung terpaksa bergantung kepada golongan ini untuk membantu menjana pendapatan negara dan membawa penambahbaikan kepada ekonomi. Walaubagaimanapun, kita hendaklah beringat bahawa semua pihak mempunyai tanggungjawab sosial biarpun swasta ataupun/terutamanya kerajaan. Jurang pendapatan yang semakin lebar akan membawa kepada pelbagai gejala negatif kepada masyarakat dan seterusnya negeri dan negara.

Perlu kita lihat pada sejarah dan belajar daripada pengalaman lepas dan mengambil iltizam daripadanya. Pelebaran jurang pendapatan boleh membawa kepada terbentuknya kelas elit dan jelata/kebiasaan. Perbezaan atau Jurang Pendapatan yang melampau telah menyumbang bukan sahaja kepada terbentuknya perbezaan kelas malah, ia juga dikait rapat dengan keadaan sosial semasa keruntuhan empayar-empayar besar yang terdahulu seperti Empayar Rom di Eropah, Empayar Gupta di Benua India dan Empayar Han di China. Sedangkan empayar yang begitu besar dan berkuasa suatu ketika dahulu juga menghadapi nasib yang sebegitu, apatah lagi negara dan negeri kita yang kerdil jika dibandingkan dengan empayar-empayar tersebut. Haruslah kerajaan lebih berhati-hati dan menjalankan tanggungjawab sosial kita.

Antara kesan-kesan daripada pelebaran jurang pendapatan adalah meningkatnya kadar jenayah serta menurunnya nilai-nilai social goods kepada masyarakat. Kajian-kajian menunjukkan lebih tinggi perbezaan ekonomi/pendapatan maka lebih rendah purata jangka hayat, menurunnya status wanita, bertambah ketidakpercayaan kepada orang yang tidak dikenali malah penurunan daya saing ekonomi serta pengurangan hak cipta yang didaftarkan. Malah UNICEF telah menunjukkan dalam kajiannya indeks kesejahteraan kanak-kanak (Child Well Being Index), kesejahteraan kanak-kanak berkait rapat dengan indeks jurang pendapatan lebih daripada pendapatan per kapita. Kebanyakan gejala negatif di atas seperti jenayah dan syak wasangka telah dapat kita lihat mula menular dalam masyarakat kita dan menjadi semakin serius. Ini perlu diberhentikan serta diterbalikkan prosesnya.

Dato Seri Yang Di Pertua,

Ada banyak faktor-faktor yang boleh mempengaruhi masalah jurang pendapatan menjadi luas. Antaranya, perubahan teknologi, percukaian, pasaran buruh, nepotism dan reformasi polisi.

Sebagai contoh, apabila sesebuah negara atau negeri mengimport tenaga buruh secara berlebihan dari negara atau negeri yang mempunyai tenaga buruh yang lebih murah, secara langsungnya ia akan menyebabkan negeri atau negara yang mengeksport buruh itu mendapat pendapatan yang ditingkatkan. Secara berlawanan, apabila majikan-majikan mengambil tenaga tenaga buruh yang lebih murah dari negara lain, maka negara penerima buruh akan mengalami penurunan harga pasaran buruh dan ini menimbulkan masalah kepada penduduk negara penerima. Hakikatnya jelas kelihatan dalam negara kita.

Oleh itu, Dato Seri Yang Di Pertua,

Saya syorkan beberapa langkah harus diambil oleh kerajaan negeri Perak dalam menangani masalah pelebaran jurang pendapatan di negeri yang tercinta ini selaras dengan titah tuanku bahawasanya menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membawa kesejahteraan kepada rakyatnya.

Cadangan Pertama

Pelbagai bentuk galakan dan langkah langkah harus diadakan oleh kerajaan negeri untuk mengurangkan penggunaan buruh asing di negeri Perak tanpa menggugat daya saing industri industri sedia ada mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan kepada kerajaan negeri. Ini dapat membawa sekurang kurangnya 3 faedah secara beransur-ansur. Pertama, ia akan mengurangkan penggunaan dan bilangan buruh asing di Perak dan seterusnya meningkatkan pendapatan anak-anak Perak. Kedua, apabila pekerja asing dikurangkan, peluang kerja untuk anak tempatan meningkat malah boleh diteruskan sehingga ke tahap pulangnya anak-anak Perak di perantauan. Ketiga, apabila semakin ramai yang pulang atau datang ke negeri Perak, maka Talent Pool di negeri ini akan meningkat dan seterusnya dapat membantu memacu ekonomi negeri ke tahap yang lebih tinggi. ia juga dapat membantu mengurangkan masalah Brain Drain (kehilangan modal insan) dan juga masalah sosial yang berkaitan dengan peningkatan pendatang asing.

Cadangan Kedua

Caj/Cukai Pembangunan sebanyak 25% yang dikenakan atas pembangunan tanah mulai 1hb Januari 2014 hendaklah dimansuhkan serta merta. Cukai yang dikenakan ini mempunyai banyak kelemahan. Antaranya, pertama, cukai ini secara langsung meningkatkan harga rumah antara puluhan ribu hingga melebihi ratus ribu sebuah rumah. Ini jelas merupakan suatu penindasan kepada golongan berpendapatan rendah kerana mereka akan mendapati bahawa mereka ini tidak lagi mampu untuk memiliki rumah mereka sendiri. Kedua, biarpun ada di antara mereka yang dapat membeli rumah yang harganya telah melambung tinggi ini, mereka terpaksa menggunakan wang yang lebih untuk membayar ansuran rumah yang jauh lebih mahal dan menggunakan masa yang lebih panjang. Ini sekali lagi akan melebarkan jurang pendapatan dan menjatuhkan taraf hidup mereka kerana pendapatan bersih mereka telah jatuh menurun akibat menampung ansuran rumah ini.

Cadangan Ketiga

Untuk segala bentuk caj dan percukaian dalam bidang kuasa negeri diadakan dasar percukaian secara bertingkat dan bantuan diberi kepada golongan yang paling susah. Kita perlu memperakui bahawa golongan yang rendah pendapatannya, pendidikannya malah daya saingnya harus dibantu dalam usaha mengekalkan keharmonian masyarakat dan ini harus dilakukan tanpa mengira bangsa, agama, jantina mahupun fahaman politiknya.

Sebagai contoh, langkah menaikkan kadar sewa tapak sebanyak 500% di pasar-pasar pagi dan pasar-pasar malam secara melampau di kawasan Sungai Siput bermula 1hb April 2014 amat tidak wajar. Ia jelas memperlihatkan polisi kerajaan sekarang yang seperti Robin Hood songsang. Polisi mengambil dari yang miskin dan memberi kepada yang kaya ini haruslah dihentikan serta merta. Peniaga-peniaga yang berniaga di satu tapak petak 6×6 kaki dinaikan sewa dari RM0.50 sepetak sesesi kepada RM3.00 sepetak sesesi. Kita dapat lihat kenaikan RM2.50x360hari akan berjumlah RM900 dalam setahun. Jauh lebih daripada RM650.00 BR1M yang diterima-amat tragis. Itupun andaian tersebut berdasarkan kepada satu petak. Kebanyakan gerai-gerai menggunakan 2 atau 3 petak kerana saiz 6×6 kaki adalah amat kecil. Tidak kurang yang menggunakan 4-6 petak. Bayangkan terpaksa membayar RM20.00 ke RM30.00 untuk berniaga di pasar pagi selama 3 jam dan seterusnya RM20.00 ke RM30.00 lagi untuk berniaga di pasar malam. Ini tidak termasuk kos-kos lain seperti pengangkutan, kerosakan akibat punggah-memunggah, kehilangan pendapatan akibat hujan dan lain-lain. Tidakkah pada penghujungnya kos mereka lebih tinggi daripada berniaga di kedai? Malangnya dalam keadaan ekonomi semasa, pendapatan mereka berkurangan kerana nilai atau bilangan jual beli yang berkurangan serta saingan dari pasaraya-pasaraya besar yang tumbuh seperti cendawan.

Pada masa yang sama, syarikat-syarikat besar termasuk GLC (Government Link Companies) serta pembekal-pembekalnya diberi pelbagai keutamaan. TNB sebagai contoh, setiap tahun akan mencatat keuntungan yang amat lumayan dan IPP (Independent Power Producer) yang diberi kontrak juga mendapat keuntungan yang amat lumayan. Anehnya, walaupun keuntungan yang dicatat amat tinggi, kadar tarif elektrik dinaikkan dan diagihkan kepada rakyat. Akibatnya rakyat jelatalah yang menderita secara langsung daripada kenaikan kadar tarif elektrik dan secara tidak langsung dari kesan sampingan apabila kos pelbagai kenaikan disalurkan kepada mereka.

Cadangan Keempat

Dato Seri Yang Di Pertua, cadangan saya yang keempat ini pada zahirnya tidak berkaitan kepada peningkatan jurang perbezaan pendapatan tetapi jika ia diwujudkan maka, ia amat berguna dan tinggi maknanya serta nilainya kepada golongan akar umbi yang rendah pendapatan atau pendidikan. Sekali lagi ingin saya mencadangkan supaya diadakan suatu pusat pengumpulan aduan dan maklumat di seluruh negeri untuk menangani masalah-masalah yang biasa dialami rakyat seperti lampu, lubang, longkang serta TNB, TM dan LAP. Pendek kata semua urusan urusan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dibawah satu pejabat. Pusat ini bertanggungjawab menghubungi, memantau kerja dan menjadi orang tengah antara PBT dengan masyarakat.

Ini jelas menjadi satu keperluan kerana kerajaan mempunyai terlalu banyak agensi-agensi yang bertanggungjawab terhadap lain-lain perkara dan kadang-kala perkara-perkara yang sama. Contohnya, tiang-tiang jagaan TNB, JKR, TM atau Majlis. Masalah yang sama juga timbul dengan kabel, jalan dan lain-lain. Antara kesan positif yang paling ketara dengan sistem ini adalah pengadu-pengadu atau rakyat tidak akan merasa seperti bola yang ditendang ke kiri dan ke kanan dan masalah masih tidak dapat diselesaikan. Ia juga menyelesaikan masalah bukan bidang kuasa jabatan yang menerima aduan. Golongan akar umbi lah yang paling kurang mempunyai masa, kewangan, pengetahuan dan pengalaman berurusan dengan agensi-agensi kerajaan dan sekiranya ia dilaksanakan maka golongan akar umbi yang serba kekurangan yang akan menjadi golongan yang paling banyak menerima manfaat daripada penubuhannya.

Saya berharap YAB Pangkor dan wakil-wakil kerajaan memberi pertimbangan yang sewajarnya atas cadangan-cadangan saya. Ingin saya membawa perhatian semua yang ada di dewan ini bahawasanya seperti titah tuanku, kerajaan akan diadili rakyat di dunia dan Tuhan di akhirat. Begitu juga kami semua yang ada di dalam dewan yang mulia ini, tidak kira ahli-ahli Yang Berhormat mahupun penjawat-penjawat awam. Apa yang dilakukan akan diadili dan oleh itu, sementara masih ada peluang, masih ada jawatan, buatlah yang sebaik boleh untuk rakyat dan negara. Hakikatnya, kami dan anak cucu kami jugalah yang menghuni dan bakal dikebumi di bumi yang bertuah ini. Wariskan kepada mereka yang terbaik yang mampu kami berikan.

Dato Seri Yang Di Pertua,

Saya ingin juga ingin mengambil peluang ini untuk membawa beberapa masalah kawasan ke dalam Dewan yang mulia ini supaya masalah-masalah ini mendapat perhatian pihak-pihak yang berkaitan.

Masalah Pertama

Tiga persimpangan jalan yang amat merbahaya di persimpangan lampu isyarat iaitu di simpang masuk ke Muhibbah, Muhibbah Jaya dan Rimba Panjang. Jalan antara Persimpangan Muhibbah ke Persimpangan Rimba Panjang pula telah kehilangan hampir 10 tiang lampu tidak berganti sejak PRU ke-13 lagi. Jalan ini merupakan jalan utama di Sungai Siput dan merupakan yang paling banyak dilalui untuk keluar masuk Sungai Siput. Masuk kali ini telah 3 kali masalah persimpangan-persimpangan ini dibawa ke dalam dewan tetapi masih belum diselesaikan. Pada persidangan yang lepas, YAB Pangkor sendiri berjanji akan menghantar pasukan untuk meninjau dan menyelesaikan masalah-masalah ini dalam penggulungannya pada sidang lepas. Malangnya sekarang sidang dewan berlangsung lagi dan tidak kelihatan ada penghalang jalan atau lampu yang diganti dan tiada juga pengubahsuaian jalan yang dijalankan.

Masalah Kedua

Jalan di Sungai Buluh sekitar SK Sungai Buluh dan jalan masuk ke Yakin Mesra mempunyai lubang-lubang jalan yang mirip permukaan bulan. Aduan telah dibuat secara bertulis mahupun lisan bukan sekadar sekali sahaja tetapi ia seolah-olah tidak diketahui. Apabila ditanya secara lisan, jawapan yang diberi oleh pegawai-pegawai adalah penurapan semula jalan jalan sekitar SK Sungai Buluh dan jalan masuk ke Yakin Mesra akan disiapkan hujung tahun 2013, Sekarang pertengahan 2014 pun menjelang masih tiada penurapan semula. Yang ada cuma menutup lubang dengan konkrit sementara oleh pihak-pihak tertentu dan apa yang difahamkan kepada saya bukan oleh agensi kerajaan. Itu pun semasa 2 kali Dato Seri Speaker melawat sekolah tersebut. Malah di jalan yang dilalui oleh Dato Seri Speaker sahaja yang di tepi dan selepas itu tidak ditutup. Jadi saya mohon YAB Pangkor atau EXCO yang bertanggungjawab dapat memberi penjelasan semasa penggulungan.

Masalah Ketiga

Hampir 10 tiang lampu di Jalan Lintang yang sepatutnya di bawah jagaan JKR di hadapan Taman Lintang Perdana telah lama tidak menyala. Apabila aduan dibuat pelbagai jawapan yang diterima, antaranya masih belum diserahkan oleh pemaju dan kabel bawah tanah telah putus disebabkan kerja-kerja oleh kontraktor-kontraktor swasta dan/atau agensi-agensi kerajaan. Ini tidak seharusnya berlaku, kerana tempoh yang perlu untuk aduan diselesaikan mengambil masa terlalu lama. Jika ada kontraktor yang tidak bertanggungjawab, saya syorkan PBT mengambil tindakan sekeras- kerasnya kerana kelakuan ini membawa kepada masalah dan kesukaran yang tidak perlu dihadapi oleh rakyat setempat. Ia juga membawa kepada kos selenggara yang tinggi oleh badan kerajaan yang bertanggungjawab.

Masalah yang sama juga berlaku di Sungai Buluh, 2 tiang lampu di hujung jambatan telah berbulan-bulan tidak menyala. Apabila ditanya, jawapan seperti tiada peruntukkan dan tiada aset atau alatan yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah ini. Ini cukup tidak dapat diterima kerana jika 2 tiang lampu pun tidak dapat disempurnakan untuk menyala lampunya, apakah imej kerajaan negeri yang ingin disampaikan kepada rakyat negeri ini?

Masalah Keempat

Terlebih dahulu saya ingin ucapkan syabas dan terima kasih kepada pihak MPKK yang banyak memberi kerjasama kepada saya dalam membantu dan berkhidmat kepada rakyat, walaupun saya wakil rakyat pembangkang. Yang baik kita seharusnya memperakui dan memberi pujian. Banyak masalah masalah dan aduan aduan saya telah disempurnakan dengan baik. Namun, ada perkara perkara seperti langsung tidak bergerak. Longkang-longkang di Taman Orkid, Taman Lintang, sebahagian Taman Tun Sambathan dan sebahagian Taman Muhibbah mempunyai lumut atau fungus tebal dan padat seperti agar-agar. Lubang-lubang jalan sekitar Sungai Siput seperti tidak diendahkan oleh PBT. Contohnya, jalan dari Persimpangan Lampu Isyarat Muhibah masuk ke Kledang penuh berlubang. Isu lubang jalan mungkin tidak mengambil perhatian kepada yang berkereta besar tetapi untuk golongan akar umbi yang bermotosikal dan berbasikal, isu ini boleh membawa kecederaan parah malah maut. Saya berharap EXCO yang bertanggungjawab memberi perhatian kepada isu ini.

Cadangan kepada Dewan

Dato Seri yang Di Pertua,

Saya ingin sampaikan sedikit cadangan yang membangun dan dapat membantu meningkatkan martabat dewan yang mulia ini. Rasanya sudah berkali-kali isu ini dibawa ke dalam dewan yang mulia ini.

Soalan-soalan bertulis haruslah diberi jawapannya pada permulaan sesi dewan dan bukannya pada penghujung sidang dewan. Ini adalah supaya ahli-ahli Yang Berhormat dalam dewan yang mulia ini dapat memperbahaskan isu-isu melalui fakta dan maklumat yang diberi. Soalan-soalan lisan yang tidak sempat dikemukakan atau dijawab hendaklah diberi jawapan secara bertulis pada penghujung sidang dewan. Keengganan memberi jawapan bertulis pada awal sidang dewan dan jawapan kepada soalan-soalan lisan yang tidak sempat dikemukakan memberi gambaran atau boleh dikatakan menunjukkan bahawa dewan ini tidak telus atau ingin menyorokkan sesuatu.

Jalong Menjunjung Kasih Tuanku.