Skip to content

Perbahasan RUU Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 oleh Senator Wu Him Ven

Tuan Yang di-Pertua,

Terima kasih atas ruang yang diberikan untuk membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 ini.

Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI atas inisiatif pindaan ini, terutamanya selepas kadar pemberian ini tidak disemak selama 24 tahun, sejak kali terakhir pada tahun 2002.

RUU ini memperkenalkan struktur empat peringkat yang dilihat sebagai satu langkah yang amat baik. Struktur ini akan memberi manfaat ketara kepada Negeri Sembilan, yang mempunyai populasi sekitar 1.2 juta orang.

Bagi Peringkat Pertama untuk 100,000 orang pertama, kadar dinaikkan 41.7 peratus daripada RM72.00 kepada RM102.00.

Seterusnya, Peringkat Kedua untuk 500,000 orang berikutnya menyaksikan kenaikan 37.3 peratus kepada RM14.00.

Manakala, bagi Peringkat Ketiga, kadar dinaikkan 25 peratus kepada RM13.50.

Akhir sekali, bagi Peringkat Keempat untuk baki penduduk, kenaikannya adalah yang terendah, hanya 14 peratus, daripada RM11.40 kepada RM13.00.

Hampir 90% penduduk Negeri Sembilan berada dalam lingkungan Peringkat 1 hingga 3, menjamin purata kenaikan yang jauh lebih tinggi berbanding negeri yang memiliki populasi yang lebih besar.

 

Tuan Yang di-Pertua,

Negeri Sembilan mempunyai visi besar, seperti Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0), yang menarik pelaburan berbilion ringgit. Namun, pelaburan ini tidak akan masuk jika Kerajaan Negeri gagal menyediakan Prasarana Utama yang mencukupi, seperti bekalan air yang stabil.

Sebagai contoh, projek infrastruktur air seperti LRA Ngoi Ngoi 2 menelan kos RM200 juta. Angka ini sahaja sudah mewakili kira-kira 36% daripada keseluruhan Bajet Tahunan Negeri Sembilan. Ini adalah cabaran besar.

Apabila MVV 2.0 berjaya, syarikat dan pekerja akan membayar Cukai Syarikat dan Cukai Pendapatan. Ironinya, kesemua hasil cukai ini mengalir sepenuhnya ke Putrajaya, manakala Kerajaan Negeri, yang menyediakan tanah dan infrastruktur asas, hanya ditinggalkan dengan hasil tanah yang bersifat statik.

Ini menunjukkan ketidakseimbangan yang ketara. Bajet tahunan Negeri Sembilan yang sekitar RM640 juta adalah kecil berbanding bajet Persekutuan yang mencecah RM470 bilion, iaitu lebih kurang 700 kali ganda perbezaannya.

Kekangan fiskal inilah yang menyebabkan urusan di bawah kuasa negeri, seperti pengurusan air dan sisa pepejal, terpaksa bergantung sepenuhnya kepada agensi Persekutuan.

Justeru, RUU ini hanyalah permulaan. Apa yang lebih penting ialah usaha ke arah autonomi fiskal dan agihan hasil cukai yang lebih adil. Saya ingin mengemukakan dua tuntutan utama:

Pertama, Institusikan Kajian 10 Tahun. Komitmen Kerajaan untuk menyemak kadar ini setiap 10 tahun perlu dimaktubkan dalam undang-undang, melalui pindaan Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan.

Ini harus mencontohi semangat yang termaktub dalam Perkara 112D bagi Sabah dan Sarawak bagi mengelakkan “beku 24 tahun” tidak berulang.

Kedua, Federalisme Rakan Kongsi. Kerajaan Persekutuan perlu melihat negeri sebagai rakan kongsi yang setara.

Saya mencadangkan agar Putrajaya meneroka mekanisme perkongsian hasil bagi sebahagian kecil daripada Cukai Pendapatan dan Cukai Syarikat yang dipungut dari wilayah negeri itu sendiri.

 

Dana ini akan membolehkan negeri membangunkan pengangkutan awam, perumahan, menaik taraf loji air dan memelihara warisan adat tanpa perlu sentiasa meminta peruntukan dari Pusat.

 

Tuan Yang di-Pertua,

Saya menyokong RUU ini sebagai titik permulaan yang murni. Marilah kita jadikan ia pemangkin kepada reformasi federalisme yang lebih besar, demi masa depan Malaysia yang lebih mampan.

Sekian, terima kasih.