Skip to content

Perdana Menteri perlu ambil tanggungjawab dan adakan mesyuarat harian Majlis Keselamatan Negara untuk tangani krisis Covid-19 dan ekonomi

Lonjakan terbaru dalam jangkitan kes COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri utama dan kegagalan pemulihan yang cepat dari kemelesetan ekonomi telah menimbulkan kegelisahan kepada semua rakyat yang hanya dapat digambarkan sebagai satu penghinaan terhadap negara dan putusnya harapan. Kegagalan pengurusan krisis Kerajaan PN yang penuh dengan amalan dua darjat, dasar berubah-ubah dan pusingan U terhadap SOP adalah faktor penyumbang utama kepada keadaan ini.

Amaran rasmi mengenai lebih daripada 5,000 kes COVID-19 setiap hari selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri, kekurangan sumber di pusat kuarantin COVID-19 dan untuk wira barisan hadapan serta ancaman untuk menahan atau bahkan memenjarakan mereka yang melanggar sekatan PKP, adalah usaha mengalihkan tanggungjawab atas kegagalan oleh kerajaan kepada rakyat. Sekali lagi, rungutan rakyat di seluruh negara bukanlah terhadap undang-undang ini, tetapi penguatkuasaan yang dua darjat sehingga golongan VIP terlepas dari hukuman atau hukuman ringan berbanding dengan rakyat biasa.

PN masih dalam penafian bahawa Malaysia adalah negara terburuk di Asia-Pasifik dari segi kes harian COVID-19 per kapita, di mana beberapa negeri seperti Kelantan dan Sarawak yang sebelum ini merupakan zon hijau kini telah menjadi tapak panas jangkitan baharu. Walaupun dengan Proklamasi Darurat dan penggantungan Parlimen, krisis COVID-19 semakin teruk dan tidak bertambah baik. Lebih buruk lagi, Majlis Keselamatan Nasional dengan keras kepala meneruskan pendekatan yang gagal ini mengingatkan kita akan petikan terkenal yang dikaitkan dengan Albert Einstein, “Definisi kegilaan adalah melakukan perkara yang sama berulang kali dan mengharapkan hasil yang berbeza.”

Pemulihan perlahan dari kemelesetan ekonomi walaupun kerajaan membelanjakan RM622 bilion melalui pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan 2021 sejak satu tahun terakhir, tidak dibantu dengan pengakuan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan sekarang kekurangan dana. Kerajaan harus menjelaskan mengapa rakyat tidak mendapat manfaat sepenuhnya dari RM622 bilion ini, yang secara teknikalnya setiap rakyat Malaysia sepatutnya mendapat manfaat lebih dari RM19,000 selama satu tahun. Di manakah manfaat RM19,000 untuk setiap rakyat Malaysia?

Daripada meminjam dari pasaran hutang domestik dengan kecairan RM1.3 trilion dan kadar faedah yang terendah dalam sejarah, PN telah mempergunakan kuasa darurat dengan meminda Akta Kumpulan Wang Amanah Negara tanpa mendapat persetujuan parlimen. Ini membolehkan kerajaan menjarah RM5 bilion daripada dana terkumpul RM19.5 bilion setakat akhir tahun lalu, untuk tujuan COVID-19 dan apa-apa jumlah selanjutnya pada masa hadapan yang difikirkan perlu oleh kerajaan.

Namun, kadar vaksinasi masih perlahan dan pemulihan ekonomi telah terhenti. Kurang daripada satu juta rakyat Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, menjadikan sasaran bulan Disember tahun ini untuk memvaksinasi 80% daripada 32 juta penduduk Malaysia hampir mustahil. Pada kadar sekarang, para penganalisa menganggarkan bahawa kita memerlukan tiga tahun lagi untuk menyediakan sekurang-kurangnya satu dos kepada 80% penduduk.

Janji-janji yang dimungkiri seperti pelanjutan automatik moratorium pinjaman bank (kecuali 20 Teratas), pengedaran komputer riba dan menaikkan bayaran bantuan bulanan kebajikan kepada RM1,000, termasuk kepada penganggur tidak membantu dalam memberi keyakinan kepada rakyat. Menaikkan bayaran bantuan bulanan kebajikan kepada RM1,000 termasuk kepada penganggur sepanjang krisis COVID-19, bukan sahaja akan menyediakan jaringan keselamatan sosial bagi mereka yang menghadapi masalah kewangan sehingga 1 juta rakyat Malaysia, tetapi juga akan membantu meningkatkan penggunaan swasta.

Tiba masanya untuk satu rombakan penuh dan penyusunan semula bagaimana krisis COVID-19 dan ekonomi ini dikendalikan. Perdana Menteri kelihatan terputus dari realiti dan harus bangkit dari kelesuan politik, bagi berusaha mentadbir kerajaan minoriti setelah kehilangan majoriti parlimennya dan mengambil tanggungjawab dengan mengadakan mesyuarat harian MKN. Ini adalah krisis nasional, dan Perdana Menteri mesti terlibat secara peribadi dan langsung dan tidak menyerahkan tanggungjawab kepada orang lain. Jika tidak, apa gunanya ada Perdana Menteri?