Skip to content

Perikatan Nasional yang dibentuk PAS dan Bersatu akan membawa Malaysia ke arah menjadi sebuah negara gagal seperti Sri Lanka dan Nigeria, berbanding dengan PH–BN yang mahu Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia seperti Korea Selatan dan Singapura dengan perpaduan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan

Semasa negara kita mula mencapai kemerdekaan pada tahun lima dan enam puluhan dalam abad yang lepas, ada dua negara yang mana kemajuannya diperhatikan Malaysia – Sri Lanka di Asia dan Nigeria di Afrika.

Pada tahun 1960, Nigeria mempunyai KDNK per kapita yang lebih tinggi berbanding dengan Malaysia manakala Malaysia pula dua kali ganda lebih kaya berbanding dengan Sri Lanka.

Hari ini, Sri Lanka dan Nigeria kedua-duanya merupakan contoh kegagalan dalam usaha membina negara, dengan Malaysia lima kali ganda lebih kaya berbanding dengan Nigeria manakala Sri Lanka pula telah menjadi sebuah negara yang gagal dan berpecah belah – di mana Sri Lanka empat kali ganda lebih miskin berbanding dengan Malaysia.

Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk PAS dan Bersatu akan membawa Malaysia ke arah menjadi sebuah negara gagal dan berpecah belah – dan tidak ada contoh yang lebih baik untuk sebuah Malaysia yang berpecah belah dan gagal berbanding dengan cara Pengerusi Gerakan, Dominic Lau, dilayan di satu majlis PN di Pulau Pinang.

Gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional tidak mahu Malaysia menjadi sebuah negara yang gagal, berpecah belah, dan korup seperti Sri Lanka dan Nigeria.

Kami mahu Malaysia untuk bangkit semula menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia seperti Korea Selatan dan Singapura, untuk menjadi contoh yang disegani oleh negara-negara lain dan bukannya menjadi kisah amaran untuk dielakkan negara-negara lain.

Dalam beberapa dekad yang lepas, Malaysia telah mengalami kemerosotan, ditinggalkan di belakang satu demi satu negara, Singapura, Taiwan, Korea Selatan, Hong Kong, malah Vietnam juga.

Kita berada dalam bahaya ditinggalkan di belakang Indonesia dan Thailand di kawasan serantau ASEAN, memandangkan kita membangun separuh lebih perlahan berbanding dengan Indonesia dan Thailand dalam enam puluh tahun yang lepas.

Kita akan ditinggalkan di belakang Indonesia dan China dalam penerbitan tahunan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) menjelang 2030 sekiranya kita tidak meningkatkan usaha membanteras rasuah.

PAS dan Bersatu dalam PN tidak mempunyai apa-apa rancangan untuk membangkitkan semula Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, sebaliknya, hanya ada dasar yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup.

Malah, di bawah pemerintahan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada tahun 2020, selepas konspirasi politik Langkah Sheraton, Malaysia telah jatuh ke kedudukan terburuk dalam TI CPI 2021 dalam masa hanya setahun, perkara yang sebelum ini mengambil masa 25 tahun dari 1995 ke 2020, iaitu tempat ke-62 dari 180 negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengumumkan visinya untuk Malaysia dalam rancangan Ekonomi Madani yang antaranya mempunyai matlamat-matlamat seperti berikut:

  • Menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia dari segi kadar keluaran dalam negara kasar. Malaysia buat masa ini berada di tempat ke-35.
  • Berada dalam kedudukan 12 teratas dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD. Kita sedang berada di tempat ke-27.
  • Tempat 25 ke atas dalam Indeks Pembangunan Manusia PBB. Tempat semasa adalah ke-62.
  • Tempat 25 ke atas dalam Indeks Persepsi Rasuah. Tempat semasa adalah ke-61.

Marilah kita tunjukkan sokongan kepada Anwar dengan mengundi menyokong dasar-dasarnya ini pada 12 Ogos dan menunjukkan yang kita mahukan lebih banyak reformasi institusi dan perubahan.

Kerana inilah saya katakan yang enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini bukan sahaja penting untuk masa hadapan kerusi-kerusi yang terlibat seperti Balakong, atau mengenai masa hadapan enam negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu, tetapi amat penting demi masa hadapan Malaysia dan masa hadapan anak-anak serta cucu-cucu kita.