Skip to content

Perolehan Tanah Geran 18335, Lot 41, Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur (Tanah Lot 41) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan (MOF)

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini, membentangkan Perolehan Tanah Geran 18335, Lot 41, Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur (Tanah Lot 41) di bawah Bank
Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan (MOF).

Isu ini adalah sebahagian daripada penemuan Jabatan Audit Negara (JAN) dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Penyata Kewangan dan Pengauditan
Pematuhan Agensi Persekutuan yang dibentangkan di Parlimen pada 10 Disember 2020.

PAC mengadakan mesyuarat prosiding berhubung isu ini pada 20 September 2021 dan saksi yang dipanggil adalah:

  1. Yang Berusaha Patimah binti Ramuji, Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi);
  2. Yang Berbahagia Datuk Asri bin Hamidon, Ketua Setiausaha Perbendaharaan; dan
  3. Yang Berbahagia Datuk Nor Shamsiah binti Mohd Yunus, Gabenor Bank Negara.

Hasil daripada prosiding berkenaan, PAC membuat lima (5) rumusan seperti berikut:

  1. Penjualan Tanah Lot 41 kepada BNM oleh Kerajaan melalui Syarikat SPV Hartanah Mampan Sdn. Bhd. adalah untuk tujuan pendanaan pelan rasionalisasi 1MDB. Pembayaran harga perolehan RM2.07 bilion dibuat oleh BNM pada 19 Disember 2017 (RM1.035 bilion) dan 27 Disember 2017 (RM1.035 bilion). Hasil jualan tersebut
    telah digunakan untuk tujuan pembayaran di bawah pelan rasionalisasi 1MDB pada 31 Disember 2017;
  2. BNM tidak pernah merancang untuk membeli Tanah Lot 41 sebelum tawaran dikemukakan oleh MOF. Perancangan perolehan Tanah Lot 41 tidak wujud dalam perancangan strategik tahunan BNM bagi tempoh 2015 hingga 2017 walaupun BNM menyatakan tujuan pembelian adalah untuk membangunkan hab pendidikan perkhidmatan kewangan untuk jangka masa panjang;
  3. BNM tidak melaksanakan due diligence yang secukupnya dalam pembelian Tanah Lot 41. Lembaga Pengarah BNM membuat keputusan untuk membeli Tanah Lot 41 dalam masa sembilan (9) hari selepas perbincangan dengan MOF (15 Ogos 2017), dan tiga (3) hari selepas tawaran dikemukakan oleh MOF (21 Ogos 2017). Transaksi perolehan diselesaikan dalam tempoh masa yang singkat iaitu empat (4) bulan. Kesemua ini membangkitkan keraguan sama ada BNM menghadapi tekanan daripada pihak Kerajaan dalam membuat keputusan;
  4. Harga perolehan Tanah Lot 41 berjumlah RM2.07 bilion berdasarkan penilaian yang dilaksanakan oleh Tetuan Suleiman & Co. adalah tinggi. Penilaian JPPH yang berdasarkan status hak milik yang sedia ada iaitu Kategori Kegunaan Tanah “Tiada”, Syarat Nyata “Tiada” dan zoning institusi dengan nisbah plot 1:2 adalah sebanyak RM1,421,650,000.00; dan
  5. Pembayaran harga perolehan RM2.07 bilion adalah tidak wajar dilakukan tanpa penukaran status Kategori Kegunaan Tanah dari “Tiada” kepada “Bangunan” dan pecah sempadan dengan bahagian tanah yang dimiliki oleh Malaysia Space Agency (MYSA) disempurnakan terlebih dahulu.

Sebagai langkah penambahbaikan, PAC Parlimen mengesyorkan dua (2) perkara kepada Kerajaan untuk dilaksanakan seperti berikut:

  1. Sementara menghormati transaksi jualan hartanah yang menguntungkan Kerajaan, adalah penting supaya BNM mampu membuat keputusan berkait pelaburan serta pembangunannya dengan bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak; dan
  2. BNM hendaklah dengan segera menyelesaikan isu penukaran Kategori Kegunaan Tanah dan pecah sempadan Tanah Lot 41. Rancangan rapi untuk mengoptimumkan penggunaan Tanah Lot 41 perlu dimuktamadkan.

Orang ramai yang berminat untuk membaca dan meneliti Laporan PAC Parlimen berhubung Perolehan Tanah Lot 41 di bawah Kementerian Kewangan dan Bank Negara
Malaysia boleh memuat turun (download) laporan berkenaan di laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac