Tanggal 31 Ogos esok, genaplah 61 tahun Malaysia merdeka. Bukan mudah untuk mengecapi kemerdekaaan ini, apatah lagi untuk mengekalkan kebebasan daripada kuasa luar dan mentadbir negara yang penuh dengan kepelbagaian bangsanya mengikut acuan kita sendiri.
Keunikan negara kita bukan semata-mata terletak pada sejarahnya, keagungan bangunannya, keindahan alam, tempat pelancongan atau makananya yang lazat, tetapi kemampuan rakyatnya yang berbilang bangsa hidup bersama di bawah satu bumbung, saling memahami, hormat-menghormati dan menerima antara satu sama lain seadanya.
Hari Merdeka tahun ini jelas sekali lebih bermakna. Rakyat Malaysia telah melakar sejarah baru negara ini dengan menyingkirkan kerajaan persekutuan Barisan Nasional buat pertama kalinya sejak 1957. Bertahun-tahun negara ditadbir dengan kleptokrat, kewangan negara dilanda hutang dan imej negara yang calar di mata dunia.
Tapi hari ini kita boleh semua mendabik dada dengan penuh bangga dan penuh harapan dengan Malaysia Baru. Pilih Raya Ke-14 menyaksikan satu kuasa perpaduan yang cukup hebat. Orang Malaysia bangkit dengan keberanian. Ramai berpusu-pusu, berpenat lelah mengambil segala cara untuk memastikan undi mereka masuk ke dalam peti undi.
Inilah semangat patriotisme yang benar, bukan setakat melaungkan merdeka. Negeri Pulau Pinang yang telah bertukar tangan kepada Pakatan Harapan sejak 10 tahun lepas telah mengecapai pelbagai kemajuan dan pengiktirafan. Pulau Mutiara ini kekal menjadi negeri kegemaran untuk pelabur mahupun pelancong dalam dan luar negara.
Hari Rabu yang lepas, saya telah mengadakan sesi perkongsian khas Penang2030, satu visi daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang memfokuskan keluarga, hijau dan pintar menjelang tahun 2030. Sesi khas bersama lebih 500 tetamu khas itu juga disiar secara langsung melalu akaun Facebook saya. Banyak lagi yang perlu dilakukan selepas ini, melalui pelbagai inisiatif dan pendekatan untuk mencapai matlamat Penang2030. Saya ingin mengajak rakyat Pulau Pinang, tidak kita di mana anda berada, untuk berikan idea dan pandangan anda kepada saya.
Marilah kita menggembeleng tenaga dalam memakmurkan negeri tercinta ini, sekaligus muncul negeri modal untuk negara, bahkan dunia. Saya percaya ini adalah hadiah Negeri Pulau Pinang untuk Malaysia.
Selamat Hari Merdeka.