Skip to content

PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 2026 OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG

Aidilfitri merupakan detik bermakna untuk kita memperkukuh ukhuwah, mengeratkan silaturahim serta menyemai nilai kasih sayang dan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Nilai-nilai inilah yang menjadi asas kepada keharmonian rakyat Pulau Pinang yang hidup dalam suasana saling menghormati kepelbagaian agama, budaya serta latar belakang.

Barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited memperkukuh pembangunan hal ehwal agama Islam sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negeri yang inklusif. Kemajuan negeri tidak hanya diukur melalui pembangunan fizikal dan ekonomi semata-mata, tetapi turut didasari oleh pengukuhan institusi agama, pendidikan rohani serta kesejahteraan masyarakat.

Tahun 2026 amat istimewa, sambutan Tahun Baharu Cina disambut serentak dengan Ramadan al-Mubarak. Apa yang saya dapat perhatikan, majlis-majlis Tahun Baharu Cina diraikan secara kesederhanaan bagi menghormati bulan yang mulia ini. Saban tahun jua, saya akan menjelajah ke seluruh Pulau Pinang menghadiri majlis-majlis iftar bagi meramahi kepelbagaian golongan masyarakat antaranya warga pendidik, kesihatan, petani, pesawah, anak-anak istimewa, guru-guru agama dan lokaliti-lokaliliti setempat. Saya dapat merasai sendiri kehangatan hubungan dalam komuniti yang melambangkan semangat ‘keluarga Penang’ yang menjadi akar tunjang kekuatan negeri kita. Melalui lorong-lorong kampung dan senyuman penduduk yang ditemui, ia turut memperlihatkan keunikan yang kita raikan dengan memastikan tiadanya jurang antara lapisan masyarakat di negeri ini, dan juga antara bandar serta luar bandar.

Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) terus mempergiat usaha memperkasa institusi masjid dan surau sebagai pusat ibadah, pendidikan serta penyatuan ummah. Bagi tahun 2026, sebanyak RM25.34 juta diperuntukkan untuk pembangunan masjid dan surau di seluruh negeri, meningkat berbanding RM17.67 juta pada tahun 2025. Sehingga kini, terdapat 258 masjid di Pulau Pinang termasuk tujuh masjid baharu yang telah siap dan mula beroperasi pada tahun 2025, sekali gus memperluas kemudahan ibadah kepada masyarakat setempat.

Selari dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030) berasaskan gagasan Visi Penang2030, dalam aspek bidang pendidikan Islam, Pulau Pinang kini mempunyai 352 sekolah Islam serta 222 Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP). Kerajaan Negeri turut menyalurkan RM3.18 juta bantuan kepada sekolah agama rakyat (SAR), selain menyediakan RM7.2 juta elaun kepada 1,650 guru KAFA serta RM4.19 juta elaun kepada guru Sekolah Islam Pulau Pinang sebagai penghargaan kepada warga pendidik dalam membentuk generasi masa depan yang berilmu dan berakhlak.

Sempena Aidilfitri ini, marilah kita bersama-sama menyerikan suasana dengan tradisi kunjung-mengunjung, ziarah menziarahi serta saling bermaafan dalam semangat perpaduan demi memperkukuh keharmonian masyarakat negeri ini. Saya menyeru agar kita semua menjadi ‘ejen kedamaian’ dengan menghentikan sebarang bentuk provokasi yang boleh meretakkan perpaduan kita. Dengan kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, marilah kita bersama-sama menampilkan wajah Pulau Pinang sebagai negeri yang harmoni kepada dunia.

Mengambil kesempatan ini, saya menyeru supaya terus utamakan keselamatan, khususnya ketika memandu pulang ke kampung halaman atau mengunjungi sanak-saudara. Semoga sambutan Aidilfitri pada tahun ini diraikan dengan lebih meriah, penuh kegembiraan dan kebersamaan bersama keluarga serta insan tersayang, dalam suasana harmoni.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.