Skip to content

BUAT KERJA RUMAH DAHULU

Menjawab kepada kenyataan Presiden MCA, Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong bertarikh 18 Mac 2026 yang meminta Kerajaan Negeri membatalkan pelaksanaan kadar cukai tanah baharu (2026) di Pulau Pinang.

Saya meminta supaya beliau membuat ‘kerja rumah’ terlebih dahulu sebelum membuat kritikan berkaitan. Sebagaimana ditekankan sebelum ini, kes-kes yang dikemukakan adalah merujuk kepada tanah hakmilik First Grade yang tiada kategori dan syarat nyata, yang menyukarkan pengenaan kadar cukai berdasarkan syarat nyata spesifik. Semua penjelasan telah diberikan dalam siri sidang media serta kenyataan saya sebelum ini.

Sebagai mekanisme kawalan paling efektif kepada kenaikan kadar cukai untuk tempoh 10 tahun atau lebih, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan rebat 50 peratus dan tujuh (7) penambahbaikan yang diumumkan hasil maklum balas umum diterima.

Perbandingan kadar cukai tanah 2026 Pulau Pinang dengan negeri-negeri lain adalah seperti berikut:-

(1)Bagi ketegori kegunaan tanah industri, Pulau Pinang mengenakan kadar cukai RM3.25 meter persegi pada 2026 berbanding tahun 1994 yang mana Desa (RM1.08) manakala Bandar (RM1.29). Ia merupakan kadar yang lebih kompetitif supaya jurang kadar cukai industri antara negeri-negeri maju khususnya menjadi tidak terlalu besar.

(a) Wilayah Persekutuan mengenakan kadar cukai antara RM1.74-RM3.80 per meter persegi bergantung kepada jenis industri dan kadar ini adalah semenjak tahun 2006;

(b) Selangor mengenakan kadar cukai antara RM2.46-RM2.73 per meter persegi di Bandar, dan kadar ini adalah semenjak tahun 2003;

(c) Melaka telah menyemak kadar cukai tanah pada 2024, dan kadar industri yang dikenakan adalah antara RM204-RM408 per 100 meter persegi.

(2)Kadar cukai kediaman di Pulau Pinang selepas semakan juga tidak jauh berbeza dengan negeri-negeri lain. Bagi tanah bandar, kadar dikenakan adalah RM70 bagi 100 meter persegi, dan RM50 bagi 100 meter persegi di Desa.

(a) Selangor mengenakan kadar RM39-RM53 per lot;

(b) Wilayah Persekutuan mengenakan kadar RM0.33-RM0.72 per meter persegi.

Malahan, Pulau Pinang yang memiliki bilangan hakmilik strata yang tinggi di Malaysia iaitu 300,000 petak hanya mengenakan kadar minimum RM25-RM54 untuk petak strata berkeluasan 100 meter persegi (lebih 1000 kaki persegi).

(3)Kenaikan kadar cukai perniagaan juga adalah kurang 100 peratus berbanding tahun 1994. Malah, kadar perniagaan di Pulau Pinang juga adalah hampir sama dengan negeri-negeri maju lain.

(a) Selangor mengenakan cukai RM0.87-RM3.30 per meter persegi;

(b) Wilayah Persekutuan mengenakan kadar cukai RM3.40-RM4.60 per meter persegi;

(c) Johor mengenakan kadar cukai antara RM128- RM216 per 100 meter persegi bagi perniagaan kedai dan RM392- RM784 per 100 meter persegi bagi pasar raya, pangsapuri pelrkhidmatan.

Perbandingan kadar cukai antara negeri tidak akan dapat memberi gambaran yang jelas terhadap kadar cukai dikenakan setiap kali semakan kerana ia berbeza dalam aspek tahun semakan dan juga kekerapan semakan. Adalah tidak tepat perbandingan semakan cukai Pulau Pinang pada tahun 2026 dibandingkan dengan kadar cukai negeri Selangor pada tahun 2003, Wilayah Persekutuan (2006) dan Johor (2019).

Sebelum pelaksanaan kadar cukai 2026 ini, Kerajaan Negeri telah mengambil pendekatan berhemah bagi memastikan kenaikan cukai adalah seimbang dari sudut penerimaan hasil dan juga kemampuan pemegang hartanah.

Kerajaan Negeri juga senantiasa terbuka menerima sebarang rayuan, perbincangan dan turun padang meneliti kes-kes hakmilik yang dikemukakan oleh rakyat, dan sama sekali bukan pendekatan ‘kejutan dahulu, rayuan kemudian’ sepertimana tuduhan yang dilemparkan Wee Ka Siong.