Malaysia dibina atas kepelbagaian, dan kekuatan Malaysia terletak pada keupayaan kita untuk hidup bersama, bekerja bersama dan bergerak maju sebagai satu bangsa.
Pada 16 September 1963, sebuah gagasan besar direalisasikan dengan pembentukan Malaysia. Lebih enam dekad kemudian, semangat untuk membina sebuah negara yang dikongsi bersama itu kekal menjadi asas kepada kekuatan dan ketahanan kita sebagai sebuah negara.
Di Pulau Pinang, kepelbagaian bukan sekadar realiti masyarakat, tetapi merupakan sebahagian daripada identiti dan kekuatan negeri ini. Perbezaan kaum, agama, budaya serta bahasa tidak seharusnya menjadi tembok yang memisahkan kita. Sebaliknya, kepelbagaian inilah yang menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang dinamik, progresif, berdaya saing dan harmoni. Begitu juga dalam demokrasi. Kita mungkin berbeza pandangan dan pendirian, tetapi perbezaan itu harus diraikan dengan kematangan, berpandukan fakta, hujah dan rasa hormat.
Lapan tahun Visi Penang2030 membuktikan bahawa Inisiatif Strategik yang dirancang dan dilaksana telah membawa perubahan nyata kepada kehidupan rakyat. Pendapatan isi rumah Pulau Pinang, misalnya, telah meningkat daripada RM5,409 kepada RM7,386. Dalam tempoh sama, kita terus memperkukuh aspek kebajikan, pendidikan, pendigitalan, kelestarian alam sekitar dan pembangunan sosioekonomi dengan memastikan tiada yang dipinggirkan.
Dalam sektor ekonomi, keyakinan terhadap Pulau Pinang terus kukuh. Bagi separuh pertama tahun 2026, negeri ini merekodkan RM17.3 bilion pelaburan pembuatan yang diluluskan. Daripada jumlah itu, RM12.8 bilion atau 74 peratus merupakan pelaburan langsung asing (FDI), manakala 177 projek yang diluluskan dijangka mewujudkan 19,337 peluang pekerjaan. Lebih penting, sekitar 69 peratus daripada pelaburan itu datang daripada pengembangan syarikat sedia ada, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan terhadap ekosistem industri, bakat, infrastruktur dan rantaian bekalan Pulau Pinang.
Dalam sektor pelancongan, pergerakan penumpang antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) meningkat 11 peratus bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, mencecah lebih 2.64 juta, berbanding 2.38 juta bagi tempoh sama tahun lalu. Pertumbuhan ini turut disokong oleh pembangunan infrastruktur strategik, termasuk transit aliran ringan (LRT) Laluan Mutiara, Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua, Penang International Logistics Aeropark (PILA), pembesaran PIA dan pembangunan Pulau Silikon. Kita mahu pembangunan infrastruktur bukan sekadar menggerakkan ekonomi, tetapi turut menjadikan perjalanan rakyat lebih mudah, meningkatkan kesalinghubungan bandar dan peluang ekonomi lebih terbuka kepada semua.
Dalam menyediakan generasi pelapis berilmu, Pulau Pinang menjadi negeri pertama melengkapkan semua sekolah kebangsaan dengan papan pintar interaktif, di samping memperluas MakerLab bagi menyokong pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM). Pada masa sama, kelestarian alam sekitar kekal menjadi keutamaan apabila Pulau Pinang terus mencatat kadar kitar semula tertinggi dalam negara. Dalam pada itu, kita juga tidak pernah melupakan mereka yang memerlukan, yang mana melalui inisiatif kebajikan seperti Mutiara Food Bank dan Pusat Transit Harapan, kita memastikan manfaat pembangunan turut sampai kepada golongan yang memerlukan.
Selaras dengan Visi Penang2030, kita mahu pertumbuhan diterjemahkan kepada kualiti hidup lebih baik, peluang ekonomi lebih luas dan pembangunan yang inklusif untuk semua. Kita mahu Pulau Pinang terus maju ekonominya, inklusif pembangunannya, lebih baik untuk didiami, matang demokrasinya dan harmoni masyarakatnya. Maka, sempena Hari Malaysia ini, marilah kita memperkukuh kepercayaan antara satu sama lain, menolak kebencian serta prasangka dan terus membina Malaysia yang bersatu, progresif, inklusif serta harmoni.
Dari Pulau Pinang, kita akan terus menyumbang kepada kemajuan negara dengan memastikan ekonomi berkembang, peluang dibuka seluas-luasnya, pendidikan diperkasa, alam sekitar dipelihara dan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh rakyat, bukan sahaja hari ini, tetapi juga oleh generasi yang akan datang.
Selamat Menyambut Hari Malaysia 2026.