Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang: Pengurusan COVID-19 memutuskan pelantikan Yang Berhormat (YB) Tuan Phee Boon Poh, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan untuk mengetuai Pasukan Bertindak Kecemasan Negeri atau ‘State Emergency Response Team’ dalam menggerakkan sumber-sumber perlu terutamanya dalam menghadapi peningkatan kes harian kini.
Pelantikan tersebut antaranya adalah susulan daripada komitmen Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) untuk menambah baik pengurusan tempoh tindak balas atau ‘response time’ dari pusat panggilan antara 24 hingga 48 jam bagi memantau pesakit COVID-19 atau kontak rapat kepada seseorang yang disahkan positif.
Peranan-peranan yang bakal dimainkan oleh pasukan berkenaan adalah:-
- Bekerjasama rapat dengan JKNPP bagi menambah baik pengoperasian Pusat Panggilan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) atau CAC Call Centre;
- Penambahbaikan perkhidmatan panggilan berserta penyediaan keperluan logistik pesakit ke pusat-pusat rawatan, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) serta lain-lain berkaitan;
- Memobilisasikan sumber tenaga perlu termasuk sukarelawan di bawah platform Gabungan PgCare atau PgCare Alliance untuk pengurusan/keperluan mereka dikenal pasti;
- Mengenal pasti serta menambaik baik keperluan pusat-pusat rawatan/perubatan bagi memastikan sistem perubatan negeri tidak lumpuh sepenuhnya.