DAP mengecam sekeras-kerasnya tindakan melampau puak pro-UMNO di Kuala Lumpur semalam yang menggalakkan tindakan jenayah kekerasan terhadap seorang wanita dengan menawarkan RM1,200 kepada sesiapa yang dapat merakamkan aksinya menempeleng Naip Pengerusi DAP Kebangsaan merangkap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; selain menggesa orang bukan Melayu yang tidak mahir berbahasa Melayu dinyahkan keluar dari negara ini. Keberanian puak pro-UMNO ini mencetuskan provokasi jenayah akibat amalan double-standard dan mempolitikkan pihak polis dan pejabat pendakwaan membenarkan kumpulan pro-UMNO ini terlepas bebas tanpa menerima sebarang tindakan sedangkan pihak pembangkang terus dimangsakan dengan kesalahan yang tidak mereka lakukan.
DAP sangat bimbang akan keselamatan Teresa dan akan mengambil segala langkah yang perlu dengan izin beliau untuk memastikan keselamatannya terpelihara. Begitu pun, tiada langkah keselamatan yang benar-benar berkesan apabila berdepan dengan puak perkauman dan fanatik yang akan melakukan apa sahaja untuk mendapat duit.
Kumpulan pro-UMNO ini telah menyembelih empat ekor ayam dan melumurkan darahnya ke kain rentang yang memaparkan wajah pemimpin DAP, Lim Kit Siang, Teresa Kok dan saya sendiri serta ADUN PKR Lee Khai Loon. Meskipun tindakan sedemikian serta aksi membakar patung pemimpin Pakatan Rakyat sudah boleh dianggap biasa, puak pro-UMNO ini telah mengambil langkah baru ke arah keganasan dan kebencian dengan menawarkan upah RM1,200 kepada sesiapa yang sanggup menampar wajah Teresa Kok dan merakamkan aksi itu.
Jelas sekali penyokong-penyokong UMNO ini begitu berhajat untuk membangkitkan kebencian dan ketegangan kaum demi menutup rasuah BN, kegagalan menguruskan ekonomi serta kenaikan harga gula, petrol, tariff elektrik TNB serta kadar premium insuran. Cadangan untuk menaikkan kadar tol yang sepatutnya dilaksanakan tahun ini juga telah ditangguhkan ke tahun depan demi menyenangkan hati pengundi di Kajang dalam pilihanraya kecil pada 23 Mac nanti.
Langkah berdiam diri pihak polis telah menyebabkan kumpulan lelaki pro-UMNO ini untuk terus memalukan hatta di peringkat antarabangsa menghina kesucian Islam dan orang Melayu, serta semua lelaki di dalam negara Malaysia yang kita cintai ini. Tidak ada agama mahupun keturunan malah tidak ada lelaki sejati yang akan membiarkan tindakan mengasari seorang wanita. Sebagai seorang warganegara, saya memandang jijik tindakan cela penyokong UMNO ini, yang hanya menguatkan komitmen dan keyakinan saya bahawa UMNO dan BN mesti dihumban dalam pilihanraya umum akan datang. Sebagai seorang lelaki, saya amat malu apabila seorang lelaki lain begitu bangga dan tanpa segan silu menyeru supaya seorang wanita ditempeleng demi upah wang ringgit.
Lelaki sejati tidak memukul perempuan, dan keganasan seharusnya tidak dilibatkan dalam wacana umum dan lapangan politik. Seandainya gagal, demokrasi turut gagal dan Malaysia akan jatuh merudum ke arah pemerintahan bercorak diktator dan membentuk masyarakat yang tidak bertamadun.
Untuk menunjukkan betapa marahnya DAP terhadap tindakan melampau para penyokong UMNO ini, wakil-wakil rakyat DAP akan membuat laporan polis di seluruh negara. Meskipun DAP tidak mengharapkan sebarang tindakan oleh pihak polis, DAP mahu membangkitkan kesedaran awam untuk mengecam ketegangan kaum yang cuba dibangkitkan oleh penyokong-penyokong UMNO serta melindungi Teresa Kok daripada menjadi mangsa keganasan. Pihak polis mesti memikul tanggungjawab penuh di atas kegagalan untuk menghindarkan ketegangan kaum, keganasan serta kegagalan untuk memastikan keselamatan Teresa Kok.