Skip to content

DAP mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokasi dan intimidasi jenayah terhadap Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok

“The number one killer in Malaysia is not heart disease, it’s racism” – Netizen

6 Februari 2014 merupakan satu tarikh titik hitam dalam perjuangan demokrasi, keadilan dan kebebasan di Malaysia, terutama sekali bagi pemimpin wanita apabila puak Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia menyerang secara bertubi-tubi Teresa Kok dan menawarkan ganjaran RM500 (yang dinaikkan ke RM1200 dalam beberapa jam) kepada mana-mana individu yang berjaya menampar Ahli Parlimen tersebut diatas video Tahun Baru Cina beliau baru-baru ini.

Malangnya, puak ini jelas telah menyimpang dari mesej sebenar klip video tersebut – seribu satu isu yang membelenggu dan membarah di negara kita hasil dari ketidakcekapan untuk mengurustadbir negara dengan baik; isu skandal, pendidikan, keselamatan, kos sara hidup yang melambung, penyelewengan, kronisme, nepotisme, penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Tindakan jahil puak ini hanya boleh diperjelaskan dengan mudah bahawa nadi mereka semata-mata untuk mengapi-apikan isu perkauman di Malaysia, dan lebih membimbangkan lagi adalah budaya mendiskriminasi dan tohmahan terhadap pemimpin wanita.

Pendirian DAP adalah jelas – kami menentang segala bentuk provokasi, intimidasi dan ugutan jenayah, hasutan, rusuhan, serangan perkauman dan serangan gender. Tetapi persoalannya adalah, mungkinkah seorang lelaki diberi ‘layanan’ yang sama?

Sekali lagi wanita menjadi sasaran taktik politik longkang yang diseringkali dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab – dulu, kini dan selamanya, selagi kematangan politik tidak dicapai. Budaya diskriminasi wanita bertambah teruk selepas 308 apabila lebih ramai wanita dari DAP, PKR dan PAS diberi mandat rakyat untuk memimpin dengan bersih, transparen, akauntabel dan bermoral.

Tindakan puak jahil ini adalah satu penghinaan dan pengkhianatan besar kepada 50.23% pengundi wanita yang merangkumi lebih daripada separuh jumlah pengundi dalam PRU13.

Kewibawaan pihak polis juga dipertikaikan, dengan ugutan dari puak ini bahawa seandainya pihak berkuasa gagal bertindak terhadap Teresa Kok, maka mereka akan bertindak seperti yang perlu. Sejak bila, undang-undang dan perlembagaan boleh dirampas dan dimanipulasi oleh pihak seperti ini yang mempunyai agenda tersendiri untuk mencetuskan dan mengapi-apikan isu perkauman di negara ini?

Pokok isu yang menjengkelkan ini adalah “total silence” sekali lagi oleh Perdana Menteri yang mempropaganda prinsip “wasotiyah”. Dimana terletaknya keutamaan pemimpin negara yang juga mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat jika keselamatan seorang pemimpin wanita tidak boleh dijamin? Dimanakah perjuangan “1Malaysia” beliau apabila puak rasis terus dibiar mengecam dan membuat serangan dan ugutan yang mensasarkan isu perkauman? Dimanakah usaha beliau untuk memupuk dan menyebarluas idea “politik kesederhanaan”, tetapi sebaliknya peristiwa 13Mei terus dipergunakan untuk mengancam keamanan di Malaysia?

Jelas pembunuh nombor satu di Malaysia bukan lagi penyakit jantung, tetapi masalah perkauman. Walaupun pepatah lama, “The fish rots from the head” boleh diguna untuk menggambarkan pentadbiran di negara ini, namun harapan rakyat Malaysia adalah PM Najib mengambil satu pendirian tegas dan ikhlas untuk mengecam puak-puak yang yang menimbulkan kekacauan diantara kaum dan keselamatan pemimpin wanita, terutamanya dari Pakatan Rakyat dijamin oleh pihak berkuasa dan politik kesederhanaan menjadi tulang belakang negara ini.