Pindaan Perlembagaan Persekutuan hanya bermakna sekiranya berjaya mengharamkan tindakan lompat parti yang tidak bermoral, tidak beretika dan tidak demokratik yang mengkhianati mandat rakyat seperti Langkah Sheraton yang telahpun mencetuskan tiga Perdana Menteri dalam tempoh tiga tahun ini.
Ia merupakan satu langkah “bersejarah” hasil muafakat di antara Kerajaan Malaysia dan Pakatan Harapan menerusi tandatangani Memorandum Persefahaman(MOU) yang merupakan satu langkah hadapan memupuk budaya demokrasi yang sihat dan memulihkan keyakinan orang ramai terhadap proses pilihanraya. Keputusan rakyat menerusi undi mereka memilih wakil rakyat daripada parti politik yang mencalonkannya mesti mengatasi segala-galanya dan amanah rakyat dihormati sepenuhnya.
Selepas ini, maka nilai undi tidak akan dirosakkan atau ditidakkan dengan pengkhianatan wakil rakyat yang melompat parti selepas dipengaruhi oleh tawaran jawatan ataupun dan kewangan. Marilah kita menyokong penggubalan Akta Anti-Lompat Parti yang meletakkan kepentingan awam lebih daripada keuntungan peribadi, bagi menggalakkan integriti, akauntabiliti dan untuk mengembalikan kuasa rakyat.
Sama penting juga ia akan membawa kepada kestabilan politik di mana wakil rakyat tidak akan lagi di jual beli. Kita tidak mahu menyaksikan lagi negara dalam keadaan huru-hara apabila berlakunya perampasan kuasa bukan menerusi peti undi tetapi melalui (perbuatan) pengkhianatan amanah rakyat seperti yang berlaku dalam Langkah Sheraton yang membawa kerajaan pintu belakang pada 2020 di peringkat kerajaan Persekutuan, negeri Johor, Melaka, Perak dan Kedah serta di Terengganu(1962), Sarawak (1966), Kelantan (1977), Sabah (1994) dan Perak (2009).
Saya nak syorkan Akta Anti-Lompat Parti boleh mengikut apa yang dilakukan di Pulau Pinang di mana satu pindaan Perlembagaan Pulau Pinang diluluskan pada 2012 yang berbunyi, ‘Ahli yang menukar parti politik’, yang mengkehendaki seseorang ADUN dari parti tertentu yang dipilih oleh rakyat, untuk mengosongkan kerusinya jika dia bertukar parti atau berhenti menjadi ahli parti atas apa jua alasan. Seseorang yang dipilih sebagai ahli Bebas juga mesti mengosongkan kerusinya jika orang itu menyertai sesebuah parti politik.
Bagaimanapun, pengcualian diberikan kepada wakil rakyat yang mengosongkan kerusinya jika keahliannya berakhir kerana pembubaran parti atau pembatalan pendaftarannya dan juga situasi bagi seseorang wakil rakyat melepaskan keahliannya dalam parti jika dia dipilih sebagai speaker dewan undangan negeri. Pindaan sedemikian tidak harus menjejaskan hak kebebasan berpersatuan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dengan mendukung tiga prinsip utama.
- Kedaulatan rakyat di bawah sistem demokrasi berparlimen, dengan rakyat mempunyai hak untuk memilih wakil mereka;
- Kebebasan berpersatuan bagi wakil yang dipilih, tetapi dia perlu mengosongkan kerusinya jika melompat parti;
- Bagi prinsip akauntabiliti, wakil rakyat mesti bertanggungjawab kepada pengundi mereka.
Saya menyokong syor untuk merujuk pindaan Perlembagaan dan Akta Anti-Lompat Parti kepada Jawatankuasa Pilihan Khas sebelum diluluskan pada bulan Mei. YAB Perdana Menteri harus mengumumkan secara spesifik tarikh sidang khas baru pada bulan Mei serta bila ia akan diwartakan untuk dikuatkuasakan untuk mengelakkan sebarang undang-undang tertangguh atau tergantung.
Marilah kita semua padamkan malapetaka demokrasi hitam Langkah Sheraton dengan Langkah Anti-Lompat Parti yang bersejarah ini.