Skip to content

PKPD UTM Skudai: Cadangan bantuan kit ujian saringan dan keperluan warga UTM

Susulan pengumuman perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai bermula 21 Mei hingga 3 Jun oleh Menteri Kanan Keselamatan semalam.

Atas kapasiti saya sebagai Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Skudai dan alumni UTM, saya amat mengambil berat situasi berkenaan dan telah mula berhubung dengan pihak Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) bagi memastikan kebajikan dan rawatan kesihatan mereka yang dikuarantin berjalan lancar.

Dalam pertemuan atas talian dengan wakil UTM pada 17 Mei terdahulu, kami dimaklumkan seramai lebih kurang seribu pelajar dan staf UTM kini berada di bawah kuarantin dalam kawasan kampus. Pihak pengurusan UTM memohon sedikit bantuan dari segi bekalan barangan sanitasi seperti pelitup muka dan juga barangan keperluan harian termasuk sabun, shampoo dan tuala wanita. Kami telah memenuhi sebahagian permintaan tersebut pada 18 Mei dan akan terus bekerjasama rapat dengan pihak UTM untuk meringankan bebanan mahasiswa-mahasiswi dan staf-staf yang terkesan.

Lanjutan daripada itu, saya amat mengalu-alukan sebarang sumbangan bagi kedua-dua bantuan keperluan tersebut yang boleh disalur dan dikumpulkan melalui Pusat Komuniti Skudai. Untuk makluman lanjut, anda boleh hubungi kami di Talian WhatsApp 010-531 3758.

Dengan mengambil maklum kenyataan menteri kanan semalam, saya telah memberi cadangan dengan mengusahakan pengumpulan Kit Ujian RTK-Antigen bagi meningkatkan ujian saringan dalam kawasan PKPD UTM Skudai tersebut. Langkah ini perlu memandangkan peratusan keputusan positif yang tinggi iaitu 14% atau 49 ujian daripada 346 ujian saringan yang telah dijalankan. Usaha ini perlu kerana saya yakin kita tidak boleh melengah-lengahkan lagi langkah perluasan ujian saringan (mass testing).

Dalam pada itu, kita sebagai komuniti terhampir dengan UTM Skudai semestinya gusar akan situasi semasa. Oleh itu, saya mohon perhatian dan kerjasama kita bersama untuk kekal patuhi SOP dan norma baharu yang telah ditetapkan bagi mengurangkan risiko memutuskan rantaian jangkitan. Anda juga diminta untuk segera daftarkan diri bagi mendapatkan vaksin.