Saringan massa – ‘on-site pooled saliva RT-PCR screening’ membabitkan sektor perkilangan hasil usahasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang bermula minggu depan!
Pendekatan yang dilaksanakan di bawah program ‘Penang S.A.F.E’ berkaitan telah memperoleh kelulusan secara bertulis daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan ia bakal meningkatkan lagi kadar saringan di negeri ini memfokuskan sektor perkilangan. Umumnya, saringan menerusi RT-PCR menggunakan sampel air liur iaitu Deep Throat Saliva (DTS) juga telah dipersetujui penggunaannya pada peringkat Persekutuan.
Umumnya, ‘Penang S.A.F.E’ menyediakan aliran lengkap bagi pelaksanaan saringan massa dalam kalangan pekerja sektor perkilangan/industri secara berkumpulan serta berterusan, dan bukannya hanya tertumpu pada satu-satu masa tertentu sahaja. Malah, menerusi inisiatif berkenaan juga, sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta Industri Kecil dan Sederhana (IKS) boleh mengambil inisiatif bersama kerana pelaksanaannya tidak melibatkan beban kewangan yang tinggi berbanding sedia ada.
Malah, menurut Pengerusi FMM Pulau Pinang, Dato’ Jimmy Ong, Pulau Pinang mungkin merupakan negeri pertama melaksanakan pendekatan ujian saringan berkaitan yang mana ia merangkumi proses pendaftaran, penjadualan sampel, ujian RT-PCR untuk sampel yang dikumpul, keputusan saringan dalam tempoh 24 jam dan kerjasama bersama-sama JKNPP berhubung pemakluman kes positif bagi tindakan selanjutnya misalnya RT-PCR individu diikuti dengan pengasingan efektif bagi mengelakkan jangkitan lebih meluas. Layari www.penangsafe.com atau email, [email protected] bagi maklumat lanjut.