Skip to content

PN gagal bantu golongan B40 & M40 Potong gaji menteri hanya wayang politik

Tatkala penduduk Kampung Bahagia Teluk Intan yang baru tamat sesi kuarantin masih berusaha keras untuk mencari rezeki lantaran tiada bantuan yang sewajarnya disalurkan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN), rejim PN masih beria-ria dengan retorik pemotongan gaji para menteri yang hanya merupakan wayang kulit dalam kancah mata rakyat marhean.

Pihak DAP menerima pelbagai aduan tentang kesusahan rakyat pada ketika ini. Walaupun sebagai pembangkang yang tidak mendapat peruntukan yang sama banyak seperti ahli parlimen kerajaan PN, YB Nga Kor Ming tetap berusaha dalam menyediakan pelbagai bantuan terutamanya dari segi barangan keperluan yang disalurkan melalui Beg Harapan. Setiap keluarga di Kampung Bahagia yang terpaksa menjalani kuarantin telah menerima bantuan Beg Harapan dan bantuan Beg Harapan kali kedua yang merangkumi berbagai-bagai barangan dapur juga telah diberikan kepada yang memerlukan selepas mereka menghabiskan tempoh kuarantin bagi mengurangkan beban setelah tidak dapat bekerja untuk suatu tempoh yang tertentu.

Kaedah memotong atau menangguhkan pembayaran gaji menteri untuk tiga bulan sahaja dilihat sebagai langkah yang telah ketinggalan zaman dan hanya bersifat penyelesaian sementara bagi mengurangkan kemarahan rakyat terhadap kegagalan rejim PN.

Langkah memotong gaji menteri selama 3 bulan dilihat bagai melepaskan batuk di tangga. Adakah masalah covid-19 yang telah kita hadapi sejak tahun lepas dapat diselesaikan sepenuhnya selepas 3 bulan? Jika tidak berjaya apakah langkah kerajaan seterusnya dalam usaha menyelamatkan rakyat yang semakin tenggelam dalam kemelut ekonomi ini?

Rakyat melihat menteri-menteri PN terlalu sayangkan jawatan yang disandang. Pembayaran gaji dan elaun kepada majoriti menteri dilihat sebagai suatu pembaziran dan tidak berbaloi berbanding fungsi yang dijalankan oleh mereka. Langkah mengecilkan kabinet dalam pentadbiran kerajaan PN hari ini adalah lebih tepat berbanding hanya memotong gaji lantaran menteri sedia ada juga dilihat sangat tidak efektif. Contoh yang terbaik adalah menteri yang bertanggungjawab dalam mengawal harga barang malah menjustifikasikan kenaikan harga barangan keperluan utama seperti minyak masak dan tidak sesekalipun bersuara demi golongan rakyat B40 & M40 yang semakin terhimpit dengan keadaan kini.