Skip to content

Sekurang-kurangnya empat lagi Pusat Pemberian Vaksin baharu akan beroperasi pada bulan ini

Sekurang-kurangnya empat lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu akan beroperasi pada bulan ini bagi memastikan lebih ramai rakyat Pulau Pinang yang telah berdaftar diberikan vaksin pada kadar secepat mungkin.

Selain penambahan PPV awam antaranya di Tapak Ekspo Seberang Jaya pada 14 Jun 2021 dan Balai Rakyat Bayan Baru (22 Jun 2021), PPV khas bagi ‘economic frontliners’ membabitkan sektor perkilangan, peruncitan serta pelancongan juga akan dilaksanakan bagi meningkatkan kadar penerimaan suntikan dan seterusnya membentuk imuniti kelompok di negeri ini.

Hasil usahasama Kerajaan Negeri, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan lain-lain agensi berkaitan, dua (2) PPV khas kepada ‘economic frontliners’ telah dikenal pasti sehingga kini masing-masing di bahagian pulau serta Seberang Perai. Sebagai tambahan, semalam (11 Jun 2021), saya juga telah mengutus surat kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri memohon supaya cadangan pelaksanaan PPV di lapangan (on site PPV) membabitkan tiga syarikat multinasional diluluskan pada kadar segera bagi menambah bilangan kapasiti sedia ada.

Di samping itu, bagi program outreach Unit Vaksinasi Bergerak (Mobile Vaccination Unit) membabitkan pusat jagaan warga emas oleh JKNPP, sebanyak 87 pusat telah dikunjungi dan seramai 3,309 penjaga serta penghuni telah menerima suntikan vaksin. Usaha berkaitan akan berterusan bagi memastikan semua golongan berisiko divaksinasi dengan sepenuhnya dalam tempoh terdekat.