Skip to content

Program ‘Safe@Work’ yang diusulkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri harus diwajibkan kepada semua kilang

Pada tempoh bulan Januari hingga Mac 2021, Cawangan Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang melaporkan bahawa sebanyak 47 buah kilang telah diarahkan tutup ekoran penularan jangkitan COVID-19 membabitkan sektor perkilangan di negeri ini.

Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri membuat gesaan bahawa inisiatif tambahan adalah perlu dilaksana memandangkan pendekatan sedia ada dilihat masih belum dapat mencegah serta mengurangkan kadar jangkitan membabitkan sektor berkenaan secara menyeluruh yang mana daripada 11 kluster aktif dilaporkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sehingga semalam (31 Mac 2021), sebanyak tujuh (7) kluster adalah membabitkan sektor perkilangan, tapak bina (1), Depoh Tahanan Imigresen (1) dan pendidikan (2).

Justeru, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang – Pengurusan Pandemik COVID-19 yang berlangsung secara sidang video pada pagi ini telah menekankan keperluan program ‘Safe@Work’ yang diusulkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) supaya diwajibkan (mandatori) kepada semua kilang, dan serentak itu kementerian berkaitan juga diminta supaya melihat kepada keperluan operator-operator dari Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Walaupun wakil MITI pada mesyuarat berkaitan tidak dapat memberikan sebarang kata putus berhubung gesaan ahli-ahli mesyuarat, namun pihak tersebut memberi jaminan bahawa program ‘Safe@Work’ akan diperkasakan secara menyeluruh di negeri ini dengan kerjasama ibu pejabat serta MITI Pulau Pinang. Sebagai tambahan, MITI turut diminta supaya berkongsi laporan berhubung pelaksanaannya dari semasa ke semasa sebagai pemantauan lanjut akan keberkesanannya dan dipinda mengikut keperluan bagi meningkatkan keyakinan umum terutamanya kepada pihak atau sektor yang terpaksa ‘berkorban’ serta terkesan secara tidak langsung.

Bagi saringan bukan warganegara sama ada berdaftar di bawah Program Saringan Prihatin (PSP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau sebaliknya (saringan atas inisiatif majikan sendiri) membabitkan sektor pembuatan/perkilangan serta tapak binaan, JKNPP melaporkan bahawa sehingga 31 Mac 2021, seramai 97,306 orang telah menjalani saringan iaitu kedua tertinggi dalam negara selepas Sabah.