Skip to content

Pulau Pinang mencatatkan jumlah penerima vaksin tertinggi iaitu 8,923 orang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dimulakan sejak 19 April lalu

Pulau Pinang mencatatkan jumlah penerima vaksin tertinggi iaitu 8,923 orang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dimulakan sejak 19 April lalu sebagaimana data yang dikongsikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sehingga tarikh 25 April 2021.

Bagaimanapun, masih banyak yang perlu dilakukan terutamanya dalam meningkatkan lagi kadar pendaftaran semasa dan juga jumlah kehadiran selepas tarikh temu janji diberikan. Menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang – Pengurusan Pandemik COVID-19 sebentar tadi, tambahan lima (5) PPV akan dibuka selepas sambutan Syawal (tertakluk kepada kelulusan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, MOSTI) manakala JKNPP turut akan menyediakan ‘perkhidmatan bergerak’ berasaskan keperluan pusat/rumah jagaan warga emas di negeri ini.

Sehingga 26 April lalu, Pulau Pinang mencatatkan 14 kluster aktif dengan pecahan lapan (8) melibatkan sektor perkilangan, sosial (2), pendidikan (2), pusat tahanan (1) dan lain-lain (1). Dengan tambahan lapan (8) sekolah yang ditutup selama dua hari bermula hari ini selain 20 buah yang diumumkan semalam, Kerajaan Negeri menggesa kementerian/jabatan berkaitan supaya lebih telus dalam berkongsi maklumat-maklumat semasa bagi membolehkan ibu bapa khususnya memahami situasi semasa dengan lebih terperinci. Malah, Kerajaan Negeri turut menyatakan komitmen berhubung pembekalan pelitup muka, pensanitasi tangan dan lain-lain berkaitan kepada institusi-institusi pendidikan seluruh Pulau Pinang demi jaminan keselamatan para pelajar secara menyeluruh.

Serentak itu, Kerajaan Negeri turut menggesa supaya program ‘Safe@Work’ oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dapat disegerakan. Setelah hampir sebulan (dilancarkan pada 1 April 2021), pendekatan program berkaitan masih belum dapat dimulakan dan Kerajaan Negeri dimaklumkan bahawa sehingga kini terdapat 88 buah syarikat daripada sektor perkilangan di Pulau Pinang telah mendaftar.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut berharap MOSTI dengan penyelarasan bersama MITI dapat juga menyegerakan program imunisasi dalam kalangan ‘economic frontliners’. Sementara menunggu pelaksanaannya, saya telah meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Invest Penang (IP) supaya mengadakan libat urus serta kolaborasi bersama-sama para penggiat industri di Pulau Pinang khususnya pada aspek penyediaan logistik.

Dalam kita berganding bahu mencari formula serta pendekatan dalam mengawal wabak ini, pematuhan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) adalah amat penting. Kita Jaga Kita. Sayangi diri, keluarga dan juga komuniti kita.