Skip to content

Pusat panggilan Covid-19 Kerajaan Negeri beroperasi, inisiatif walk-in bukan warganegara

Pusat Panggilan COVID-19 Kerajaan Negeri Pulau Pinang mula beroperasi hari ini dengan nombor panggilan, 04 – 261 8000. Masa beroperasi kini adalah dari jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari, dan bakal ditambah baik pengoperasiannya kepada tempoh 24 jam.

Umumnya, pusat panggilan berkenaan merupakan tambahan kepada talian sedia ada iaitu Pusat Panggilan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) atau CAC Call Centre; Pusat Kawalan Bersepadu COVID-19 Pulau Pinang atau Penang Covid -19 Unified Command Centre (PUCC) dan careline Gabungan PgCare atau PgCare Alliance kini.

Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan membekalkan maklumat senarai pesakit-pesakit dikuarantin, dan penyelarasan daripada Pusat Panggilan COVID-19 Kerajaan Negeri atau ‘Penang Covid-19 Call Centre’ terhadap keperluan mereka yang didapati positif, menjalani kuarantin di rumah serta lain-lain berkaitan diharap dapat mempertingkatkan masa tindak balas atau ‘response time’ sedia ada kini.

Dalam pada itu, inisiatif walk-in akan dibuka untuk golongan bukan warganegara bermula 17 September 2021 (Jumaat) membabitkan empat (4) Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seperti berikut:-

  1. SPICE Convention Centre;
  2. Dewan Milenium;
  3. SP Arena; dan
  4. Dewan Serbaguna Sungai Bakap.

*Permulaan walk-in bagi bukan warganegara di empat (4) PPV tersebut adalah bermula pada jam 2 petang setiap hari.

Sebagai makluman, sehingga semalam, 14 September 2021, seramai 9,011 individu (populasi dewasa, warganegara) telah mengambil inisiatif walk-in membabitkan 10 PPV yang dibuka untuk tujuan berkaitan sejak 8 September 2021. Malah, mereka yang terlepas janji temu dos kedua juga adalah dialu-alukan untuk walk-in ke mana-mana PPV tersenarai bagi melengkapkan dos suntikan.

Mengikut data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sehingga 14 September 2021, populasi dewasa bagi negeri Pulau Pinang masih berbaki 116,403 individu yang masih belum memperoleh sebarang suntikan daripada jumlah keseluruhan (mengikut Jabatan Perangkaan), 1,384,600 orang. Bagaimanapun, jumlah baki tersebut termasuk mereka yang telah mendapatkan suntikan secara berbayar (atas inisiatif sendiri) di klinik-klinik dan hospital-hospital swasta berdaftar.

Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dalam kalangan remaja akan bermula di negeri Pulau Pinang dalam tempoh terdekat. Pihak kementerian sedang memperhalusi proses vaksinasi yang sesuai bagi populasi berusia 18 tahun dan ke bawah. Sesi libat urus melibatkan agensi-agensi berkaitan serta JKNPP telah diadakan dengan harapan pelaksanaannya akan dipercepatkan.