Skip to content

R-naught bagi negeri Pulau Pinang pada 27 April 2021 antara terendah dalam negara, namun kita masih perlu meneruskan langkah berjaga-jaga

Anggaran R-naught (R-t) bagi negeri Pulau Pinang pada 27 April 2021 dengan kadar 0.99 merupakan antara terendah dalam negara berbanding kadar kebangsaan, 1.12. Bagaimanapun, kita masih perlu meneruskan langkah berjaga-jaga dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Berkongsi data sehingga 28 April 2021, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memaklumkan bahawa terdapat 15 kluster aktif di negeri ini kini dengan pecahan lapan (8) membabitkan sektor perkilangan, pendidikan (3), sosial (2), pusat tahanan (1) dan lain-lain (1).

Berlandaskan situasi semasa, beberapa keputusan penting dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat bagi mengimbangi bukan sahaja sektor kesihatan dan ekonomi, malah turut meliputi sosial serta sukan kini. Sebagaimana ditekankan sebelum ini, walaupun ia merupakan keputusan yang tidak popular dan bakal mengehadkan pergerakan umum, pendekatan yang diputuskan adalah bagi memastikan semua rakyat negeri Pulau Pinang terus berada dalam keadaan selamat.

Secara dasarnya, sebagaimana dicadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan COVID-19 semalam, peningkatan penggunaan teknologi digital dalam jangkaan kejadian kluster iaitu Hotspot Indenfication for Dynamic Engagement (HIDE) yang mana pengesanan kontak melalui senarai check-in aplikasi MySejahtera bagi mengenal pasti lokasi-lokasi yang berpontensi menjadi kluster bakal digunakan sebagai pendekatan terkini dalam menangani peningkatan kes dalam negara yang mana turut meliputi penggunaan kaedah pembelajaran mesin (machine learning).

Serentak itu, Kerajaan Negeri menyeru Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) supaya memperincikan perkembangan program ‘Safe@Work’ dalam kalangan sektor perkilangan serta industri yang sepatutnya dimulakan pada 1 April lalu di seluruh negara tanpa mengabaikan mereka yang tergolong dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Bagi kluster pendidikan, adalah diharapkan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dan JKNPP dapat berkolaborasi erat dalam mengenal pasti kontak-kontak rapat serta memperketatkan kawalan ‘gatekeeping’ di setiap institusi pendidikan di negeri ini. Bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terhadap barisan hadapan ekonomi atau ‘economic frontliners’, Kerajaan Negeri menggesa supaya ia dipercepatkan bagi mengekang penularan serta memastikan peningkatan kes tidak berlarutan khususnya dalam sektor perkilangan di Pulau Pinang.