Saya menggesa rejim Perikatan Nasional (PN) menyegerakan usaha untuk membolehkan semua pengamal media di negara kita menerima suntikan vaksin dengan SEGERA lantaran kesemua mereka juga adalah petugas barisan hadapan.
Saya menempelak rejim PN yang mengabaikan rakan-rakan media dalam kedua-dua fasa penerimaan vaksin dan terus membiarkan pengamal media yang merangkumi pemberita, jurugambar dan sebagainya terus terdedah kepada risiko menjangkiti Covid-19.
Dalam kancah mata kerajaan pintu belakang PN, rakan-rakan pemberita di seluruh negara adalah tidak layak menerima suntikan vaksin berbanding dengan pekerja sektor perhotelan negeri Pahang dan ini jelas menunjukkan bahawa rejim PN adalah tidak bertimbang rasa dalam pelaksanaan dasar sehingga mengetepikan sektor media dalam pemberian vaksin.
Setiap rakyat termasuklah pekerja sektor manapun adalah berhak menerima suntikan vaksin, namun keutamaan harus diberikan kepada golongan pekerja yang berisiko tinggi, dan pada masa ini amatlah kurangnya pergerakan antara negeri demi tujuan pelancongan lantaran peningkatan kes Covid-19, maka adalah lebih munasabah untuk memberikan lindungan kepada para pengamal media yang terpaksa membuat liputan berita di merata-rata dan lebih berisiko tinggi dalam hal ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang tidak berupaya untuk melaksanakan gesaannya sepuluh hari yang lalu dengan membolehkan pengamal media diberikan vaksin terdahulu. Daripada berwayang dengan cuba menjadikan diri sebagai hero yang menjaga rakan-rakan media, saya mendesak Saifuddin Abdullah yang turut merupakan Menteri Kabinet untuk segera menjadikan gesaannya terdahulu sebagai dasar yang dimaktubkan dalam pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan demi membolehkan semua pengamal media seluruh negara diberikan vaksin serta-merta dan bukannya berperanan sebagai menteri yang beromong-omong kosong.