Skip to content

Rakyat Malaysia mesti menolak sebarang usaha untuk memecahbelahkan kita berdasarkan bangsa dan agama, jika tidak kita akan gagal mengatasi cabaran-cabaran kewangan dan ekonomi di hadapan kita

Adalah amat menyedihkan kerana Kerajaan PN telah membentangkan satu belanjawan yang mempunyai unsur-unsur yang boleh memecahbelahkan negara berdasarkan bangsa dan agama.

Saya mesti memuji pendirian Parti Amanah Negara yang dibuat melalui sidang media yang diadakan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Bin Abd Samad pada 20/11/2020 (Jumaat) bahawa Belanjawan 2021 Malaysia harus bersifat adil kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama dan Belanjawan 2021 dalam bentuknya sekarang boleh memecahbelahkan rakyat dan tidak adil kepada orang bukan Melayu dan bukan Islam. Adalah fakta umum bahawa layanan tidak adil dan ketidakadilan akan menimbulkan kebencian, perpecahan dan perselisihan. Mana-mana ahli keluarga boleh menjadi saksi bahawa layanan tidak adil dan ketidakadilan akan memecahbelahkan sesebuah keluarga apatah lagi sebuah negara.

Rakyat Malaysia tidak boleh lagi berpecah belah dan mesti menolak usaha Kerajaan PN untuk memecahbelahkan kita berdasarkan bangsa dan agama supaya mereka dapat terus berkuasa dengan menggunakan strategi ‘pecah dan perintah’ (‘divide and rule’).

Rakyat Malaysia mesti menyedari bahawa kita tidak mempunyai pilihan selain daripada hidup atau mati bersama dengan cabaran-cabaran kewangan dan ekonomi di hadapan kita.

1. Kerajaan Persekutuan tidak mampu untuk membayar pencen, elaun persaraan dan gratuiti kepada penjawat awam dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Pada permulaan Rancangan Malaysia Ke-9 pada tahun 2006, jumlah yang diperlukan untuk membayar pencen, elaun persaraan dan gratuiti hanya sebanyak RM5.86 bilion. Jumlah ini yang diperlukan pada tahun 2021 adalah RM27.0 bilion iaitu 4.6 kali ganda berbanding 15 tahun yang lalu. Jumlah ini akan meningkat lebih daripada dua kali ganda pada tahun 2030. Pada masa kini, rakyat Malaysia yang berumur 60 tahun ke atas adalah sekitar 3.5 juta (10.7% jumlah penduduk) dan dijangka akan meningkat kepada kira-kira 5.0 juta (15% jumlah penduduk) menjelang tahun 2030.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan penurunan pekerja-pekerja yang lebih muda. Ini adalah akibat penurunan kadar kesuburan wanita di Malaysia yang pada masa ini sekitar 1.8 kanak-kanak setiap wanita. Pada tahun 2020, kita mempunyai 7.53 juta pekerja muda berbanding 7.8 juta pada tahun 2010. Bolehkah jumlah pekerja muda yang kian hari berkurangan menampung jumlah pesara yang kian meningkat dalam masa 10 tahun?

2. Ketidakupayaan Kerajaan Persekutuan untuk membayar hutang

Pada tahun 2006, hutang Kerajaan Persekutuan adalah RM244.37 bilion. Pada akhir bulan Mac 2020, hutang Kerajaan Persekutuan melonjak kepada RM823.8 bilion (57.2% daripada KDNK) dan 6 bulan kemudian pada akhir September 2020 ia meningkat kepada RM874.3 bilion (60.7% daripada KDNK). Sekiranya kita memasukkan pendedahan liabiliti dan komitmen lain, ia telah mencapai RM1.264 Trilion.

Setakat September 2020, Kerajaan perlu meminjam wang sebanyak RM108.2 bilion tahun ini untuk membayar hutang yang matang sebanyak RM56.8 bilion beserta dengan tambahan pinjaman bersih sebanyak RM51.4 bilion untuk menampung defisit untuk tempoh tersebut. Kita harus mengambil perhatian bahawa Kerajaan perlu mendapatkan pinjaman untuk melangsaikan pinjaman sedia ada yang telah matang untuk dibayar. Kerajaan tidak mampu menjana pendapatan yang mencukupi untuk melangsaikan pinjaman yang sedia ada.

Kerajaan telah memperuntukkan RM39.0 bilion untuk membayar hutang pada tahun 2021 tetapi jumlah ini jelas tidak mencukupi. Kerajaan dijangka akan meminjam lebih banyak wang untuk menampung hutang yang matang dan defisit tahun 2021. Dengan bertambahnya hutang, pembayaran hutang tahunan akan terus meningkat. Adakah Kerajaan mampu membayar hutangnya jika hutang kerajaan terus bertambah dalam masa 10 tahun akan datang?

3. Ketidakupayaan Kerajaan untuk membayar hutang mempunyai kesan atas setiap rakyat Malaysia

Rakyat Malaysia adalah pemiutang-pemiutang terbesar Kerajaan Persekutuan. Sekiranya Kerajaan Persekutuan tidak mampu membayar hutangnya, ini bermakna rakyat Malaysia akan kehilangan wang mereka.

Daripada jawapan Parlimen yang saya terima, pemiutang-pemiutang Kerajaan Persekutuan adalah seperti berikut: –

(a) 75.8% terhutang kepada pihak-pihak yang bermastautin di Malaysia

(i) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 26.9%
(ii) Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) 2.8%
(iii) Syarikat insurans 4.3%
(iv) Bank 34.6%
(v) Institusi Kewangan Pembangunan 1.5%
75.8%

(b) Pihak yang tidak bermastaudin di Malaysia 24.2%
100.0%

Seorang Timbalan Menteri Kerajaan PN telah mencadangkan supaya Kerajaan untuk mencetak lebih banyak wang ringgit. Haruskah Kerajaan mencetak lebih banyak wang ringgit untuk menyelesaikan hutangnya? Sekiranya Kerajaan mencetak lebih banyak wang ringgit tanpa disokong oleh penjanaan barangan dan perkhidmatan yang lebih banyak, nilai Ringgit Malaysia akan menurun. Sekiranya Kerajaan mencetak dengan banyaknya wang ringgit untuk membayar rakyat Malaysia tetapi nilainya turun 90%, secara efektifnya rakyat Malaysia telah kehilangan 90% wang mereka walaupun mereka dibayar dengan jumlah sepenuh. Saya mempunyai satu wang kertas Zimbabwe Seratus Trilion Dolar yang dibeli dengan hanya RM30.00 untuk disimpan sebagai cenderahati. Inilah akibat dasar kewangan mendiang Presiden Zimbabwe Robert Mugabe yang mencetak lebih banyak wang untuk menyelesaikan masalah ekonominya.

Untuk memastikan kita berjaya menandingi masalah-masalah di atas, semua rakyat Malaysia mesti bersatu padu untuk mencipta kekayaan dengan menjana lebih banyak barangan dan perkhidmatan untuk mengembangkan ekonomi kita. Hanya dengan ekonomi yang lebih besar, kita dapat memastikan bahawa Kerajaan kita mempunyai lebih banyak pendapatan untuk membayar pencen dan faedah persaraan serta membayar balik hutangnya. Kita tidak mampu melihat sebahagian rakyat Malaysia kecewa kerana diskriminasi kaum dan agama dan tidak sudi lagi bekerja keras untuk membina negara kita yang tercinta ini. Kami tidak mampu melihat bakat dan modal beralih daripada Malaysia ke negara lain yang akan memberi kesan buruk terhadap ekonomi negara kita ketika kita sedang menghadapi cabaran-cabaran di atas.

Kita semua mesti memastikan bahawa Kerajaan berhenti memberikan kontrak dengan harga yang melampau, kegiatan-kegiatan untung atas angin, kronisme dan rasuah.