Skip to content

Rawatan Sungai Pinang menggunakan iQPR teknologi

Wawasan Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah untuk menubuhkan sebuah Negeri Hijau yang selamat dan bersih dengan menggunakan penyeragaman teknologi hijau. Pemeliharaan alam sekitar turut membantu dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai lokasi pilihan untuk pelabur, destinasi pilihan untuk pelancong dan habitat pilihan bagi rakyat yang menginginkan kehidupan yang lestari. Ini adalah sebahagian daripada usaha kami dalam penjenamaan Pulau Pinang yang sinonim dengan kualiti, kebolehpercayan (reliability), keselamatan, kemampanan dan integriti.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang bergantung kepada Teknologi iQPR dalam memperbaiki kualiti air di kawasan tercemar. Teknologi iQPR telah diperkenalkan sejak tahun 2010 di Sungai Pinang untuk meningkatkan kualiti air dari Kelas IV (sangat kotor) hingga ke Kelas III dan II (bersih) dalam satu projek perintis yang dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang (JPS ) di bawah program “Satu Negeri Satu Sungai”. Dalam projek ini, didapati bahawa kualiti air yang tercemar bertambah baik dengan ketara di mana enapcemar hitam dan bau busuk di dalam sungai juga dapat dihapus.

Kerajaan Negeri telah mengorak langkah berani dengan menawarkan kontrak selama 3 tahun bernilai RM5.8 juta kepada Infinite Acquisitions Sdn. Bhd., yang disokong oleh rakan kongsi teknikal STS Solutions Sdn. Bhd., (selaku pembekal iQPR Teknologi) untuk terus merawat dan mengekalkan kualiti air di peringkat Kelas II.

Teknologi iQPR yang telah dibangunkan oleh seorang anak Negeri Pulau Pinang, adalah teknologi hijau yang menggunakan air mineral semula jadi sebagai asas, di mana bahan kimia atau mikrob tidak digunakan. Digabungkan dengan asas fizik kuantum, proses berteknologi tinggi ini menghasilkan banyak rumusan air berfungsi yang boleh menangani pelbagai masalah pencemaran di dalam air dan tanah.

Penggunaan teknologi ini adalah mudah dan kos efektif. Ia tidak memerlukan perubahan infrastruktur yang mahal. Air berformula iQPR dicurahkan ke dalam pelbagai lokasi di sepanjang sungai untuk mempengaruhi perubahan dalam badan air, meningkatkan kualiti air, menghapuskan bau busuk dan mewujud dan memulihkan eko-sistem alam sekitar yang sihat.

[Seperti yang dapat dilihat dalam Gambarajah Google yang disertakan, gambar muara Sungai Pinang kini lebih jernih selepas rawatan dengan menggunakan iQPR Teknologi berbanding dengan sebelumnya.]

Selain daripada pemulihan sungai dan tasik, teknologi ini juga telah digunakan dengan jayanya dalam sektor-sektor lain seperti rawatan air sisa industri, rawatan sisa kumbahan, pertanian, akuakultur dan juga ternakan.

Walaupun kerajaan komited untuk membersihkan sungai dan meningkatkan alam sekitar, kerjasama daripada rakyat adalah penting untuk memastikan kejayaan yang berterusan. Pembuangan sisa pepejal dan membuang sampah sewenang-wenangnya ke dalam parit dan sungai MESTI DIHENTIKAN serta merta. Kita hendaklah MENGUBAH TABIAT tidak bertanggungjawab dan tidak sihat ini. Kita hendaklah prihatin dan mengambil berat serta MENCINTAI SUNGAI KITA.

Sebagai usaha yang berterusan, Kerajaan Negeri sedang mengkaji penggunakan iQPR Teknologi untuk membersihkan sungai-sungai lain dan badan air yang tercemar di Pulau Pinang. Kita juga berharap Kerajaan Persekutuan akan dapat menyokong untuk membiayai inisiatif seperti ini.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha berterusan ini bagi memelihara sungai-sungai kita supaya bersih dan mewujudkan persekitaran yang sihat untuk rakyat jelata.