Skip to content

Realiti telah berubah, kepimpinan mesti bertanggungjawab, menjawab kenyataan A Kadir Jasin

Kenyataan yang dibangkitkan oleh wartawan veteran A Kadir Jasin yang cuba mengaitkan pendirian lampau dengan dasar semasa kerajaan adalah tidak adil serta tidak mengambil kira perubahan besar yang telah berlaku dalam struktur ekonomi negara. Hakikatnya, Malaysia pada tahun 2008 dan Malaysia pada tahun 2026 berada dalam keadaan yang sangat berbeza. Pada tahun 2008, negara masih merupakan pengeksport bersih petroleum dan mempunyai ruang fiskal yang lebih luas untuk menampung subsidi secara menyeluruh. Namun hari ini, Malaysia telah menjadi pengimport bersih minyak, di mana kos mendapatkan bekalan tenaga bergantung kepada harga pasaran global yang jauh lebih tinggi. Dalam keadaan ini, meneruskan pendekatan subsidi pukal seperti dahulu bukan sahaja tidak realistik, malah boleh menjejaskan kestabilan kewangan negara dalam jangka panjang.

Dalam masa yang sama, kenaikan harga minyak global ketika ini bukan berpunca daripada dasar domestik semata mata, sebaliknya didorong oleh ketegangan geopolitik yang serius termasuk konflik melibatkan Iran yang telah mengganggu rantaian bekalan tenaga dunia. Kesan daripada krisis ini bukan sahaja melibatkan kenaikan harga, malah telah mencetuskan gangguan bekalan di beberapa negara. Filipina dilaporkan menjadi antara negara pertama yang mengisytiharkan darurat tenaga, manakala di Australia, ratusan stesen minyak dilaporkan kehabisan bekalan petrol dan diesel. Ini menunjukkan bahawa dunia sedang berdepan satu krisis tenaga yang nyata dan meluas, jauh melangkaui sempadan mana mana negara.

Pada masa ini, subsidi bahan api telah meningkat secara mendadak daripada sekitar RM700 juta sebulan kepada kira kira RM3.2 bilion sebulan, bersamaan hampir RM38 bilion setahun. Sekiranya harga minyak global meningkat kepada paras USD120 atau USD150 setong, jumlah ini berpotensi melonjak kepada antara RM50 bilion hingga RM80 bilion setahun. Tanpa sebarang reformasi dan penambahbaikan, beban fiskal sebesar ini akhirnya akan ditanggung oleh rakyat sendiri sama ada melalui cukai yang lebih tinggi, pengurangan perkhidmatan awam atau tekanan kepada ekonomi negara secara keseluruhan.

Kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar Ibrahim telah mengambil pendekatan yang lebih bertanggungjawab dengan melaksanakan subsidi bersasar bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar benar memerlukan. Melalui pendekatan ini, golongan B40 terus dilindungi dengan harga bahan api yang kekal rendah dan mampu milik, manakala golongan M40 turut menerima sokongan yang sewajarnya bagi mengurangkan tekanan kos kehidupan. Pada masa yang sama, langkah ini juga bertujuan menutup ruang ketirisan yang telah lama berlaku termasuk aktiviti penyeludupan yang menyebabkan kerugian besar kepada negara. Reformasi ini bukanlah satu bentuk pengurangan bantuan, tetapi satu usaha untuk memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberi manfaat sebenar kepada rakyat.

Adalah tidak tepat untuk menilai dasar hari ini hanya berdasarkan retorik politik masa lalu tanpa memahami tanggungjawab sebenar dalam mentadbir negara. Ketika berada di luar kerajaan, sesiapa sahaja boleh mengkritik, namun apabila memegang amanah pentadbiran, setiap keputusan perlu dibuat berasaskan realiti ekonomi, keupayaan fiskal dan kepentingan jangka panjang negara. Kerajaan hari ini bukan sahaja berdepan tekanan global, malah perlu memastikan sistem subsidi negara kekal mampan untuk generasi akan datang.

Sehubungan itu, adalah penting untuk semua pihak melihat isu ini secara matang dan berasaskan fakta. Suara rakyat sememangnya penting dan perlu didengar, namun kepimpinan yang bertanggungjawab memerlukan keberanian untuk membuat keputusan yang sukar demi memastikan kestabilan dan masa depan negara terus terjamin.