Skip to content

Subsidi mesti dilaksanakan secara bertanggungjawab, bukan berdasarkan emosi dan bukan kembali kepada sistem lama yang penuh pembaziran dan ketirisan

Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda UMNO Akmal Saleh dan pihak MCA berhubung isu subsidi bahan api. Saya ingin menegaskan bahawa subsidi bahan api memang berkait langsung dengan kehidupan rakyat, dan kerajaan sememangnya bertanggungjawab membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup. Namun begitu, setiap dasar mesti berasaskan kemampuan fiskal sebenar dan kemampanan jangka panjang, bukan dipandu oleh retorik emosi semata mata.

Perbandingan dengan tahun 2008 atau 2011 adalah tidak tepat kerana ia mengabaikan perubahan besar dalam struktur ekonomi dan tahap penggunaan bahan api negara. Pada tahun 2008, penggunaan harian petrol dan diesel dianggarkan sekitar 1.2 juta hingga 1.4 juta tong sehari, manakala hari ini telah meningkat kepada sekitar 1.8 juta hingga 2.0 juta tong sehari, iaitu peningkatan lebih 30%. Dengan tahap penggunaan yang jauh lebih tinggi hari ini, mengekalkan model subsidi pukal yang menyeluruh seperti dahulu akan menyebabkan beban fiskal yang jauh lebih besar berbanding masa lalu.

Saya juga ingin menegaskan bahawa harga bahan api yang rendah pada masa lalu bukanlah tanpa kos. Ia dicapai melalui subsidi pukal besar besaran yang turut menyebabkan pembaziran dan ketirisan yang ketara, termasuk aktiviti penyeludupan bahan api, penggunaan oleh kenderaan asing di sempadan, serta manfaat yang lebih besar dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi kerana penggunaan yang lebih tinggi. Dianggarkan kerugian akibat penyeludupan bahan api sahaja mencecah berbilion ringgit setiap tahun, dan masalah ini adalah realiti dalam sistem subsidi secara pukal.

Atas sebab itulah konsep subsidi bersasar telah pun dibincangkan sejak zaman pemerintahan kerajaan Barisan Nasional lagi, dengan tujuan mengurangkan pembaziran, meningkatkan kecekapan dan memastikan bantuan benar benar sampai kepada golongan yang memerlukan. Justeru, saya ingin bertanya secara jelas, adakah Akmal Saleh dan pihak MCA kini menyokong supaya kita kembali kepada subsidi secara pukal yang turut dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi, kenderaan asing, malah membuka ruang kepada aktiviti penyeludupan?

Berhubung dakwaan bahawa kerajaan menganggap subsidi sebagai beban, saya ingin menjelaskan bahawa kerajaan tidak pernah menafikan keperluan membantu rakyat. Persoalannya ialah bagaimana untuk membantu secara mampan. Pada masa ini, subsidi bahan api telah meningkat daripada sekitar RM700 juta sebulan kepada RM3.2 bilion sebulan, bersamaan kira kira RM38 bilion setahun. Sekiranya harga minyak global meningkat kepada USD120 atau USD150 setong, jumlah ini boleh melonjak kepada antara RM50 bilion hingga RM80 bilion setahun. Tanpa reformasi dan penambahbaikan, beban ini akhirnya akan ditanggung oleh rakyat sendiri.

Saya berpendapat bahawa pendekatan yang benar benar tidak bertanggungjawab ialah apabila kita mengetahui sistem sedia ada mempunyai ketirisan dan pembaziran, tetapi masih mahu meneruskan atau memperluaskannya tanpa menjelaskan dari mana sumber kewangan akan datang. Ini hanya akan mewujudkan risiko fiskal yang lebih besar pada masa hadapan.

Saya ingin menegaskan bahawa membantu rakyat adalah tanggungjawab kerajaan, tetapi ia mesti dilaksanakan secara lebih tepat, lebih adil dan lebih mampan. Bantuan perlu disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang benar benar memerlukan, dan bukan dibazirkan dalam sistem yang tidak cekap. Kita perlu memastikan bahawa dalam membantu rakyat hari ini, kita juga melindungi masa depan ekonomi negara.