Skip to content

Reformasi struktural diperlukan untuk mengatasi masalah perumahan pekerja asing

Telah dilaporkan bahawa kira-kira 91.1% atau 1.4 juta pekerja asing di negara kita diberikan kemudahan penginapan yang tidak mematuhi peruntukan dalam Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Perkara ini didedahkan apabila industri pembuatan sarung tangan disiasat, selepas melaporkan kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi dalam kalangan tenaga kerja asingnya.

Memandangkan Malaysia adalah antara pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia, industri ini menggajikan ribuan tenaga kerja asing dan tempatan. Setakat masa ini, industri pembuatan sarung tangan menggajikan kira-kira 71,800 pekerja, 28,000 orang pekerja tempatan dan 43,800 orang pekerja asing. Para pengilang sarung tangan ini sepatutnya perlu menggunakan keuntungan besar mereka untuk menambah baik piawaian perumahan pekerja mereka.

Reformasi menyeluruh diperlukan dalam sektor pekerja asing

Isu-isu berkaitan dengan piawaian perumahan pekerja sedia ada ini tidak boleh diselesaikan hanya dengan melakukan semakan berkala terhadap asrama pekerja. Perkara ini memerlukan reformasi struktural yang menyeluruh untuk mengawal kuasa Kementerian Dalam Negeri yang boleh memberikan kelulusan kepada pekerja asing tanpa semak imbang yang sepatutnya. Perkara ini adalah salah satu penyumbang kepada piawaian perumahan pekerja yang teruk memandangkan sesetengah majikan yang tidak berkelayakan telah diberikan kelulusan untuk menggajikan pekerja asing.

Kita memerlukan semakan semula secara menyeluruh terhadap sistem pengurusan sumber manusia, masalah korupsi, dan amalan pengambilan pekerja yang melibatkan penipuan yang membawa kepada keadaan kesihatan dan keselamatan yang buruk di asrama pekerja.

Sudah tiba masanya untuk kerajaan Perikatan menerbitkan laporan Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing yang saya telah mulakan semasa berkhidmat sebagai Menteri Sumber Manusia, yang sehingga hari ini telah disorokkan daripada penelitian awam.

Laporan ini perlu menjadi asas reformasi menyeluruh yang untuk mengelakkan salah laku.

Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pekerja Asing Kabinet, telah mengatakan yang Sijil Perumahan Pekerja yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia akan dijadikan keperluan untuk majikan yang berhasrat untuk memohon menggajikan pekerja asing baharu mulai 1 Julai tahun ini. Namun begitu, perkara ini tidak mengatasi masalah mengenai kuasa membuat keputusan yang menidakkan keperluan untuk ketelusan dan tanggungjawab dalam pengurusan pekerja asing.

Perumahan Pekerja perlu mematuhi piawaian antarabangsa

Semasa tempoh saya berkhidmat sebagai Menteri Sumber Manusia pada tahun 2019, saya telah memulakan proses untuk membawa beberapa pindaan kepada Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 selepas beberapa proses libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan. Pihak-pihak industri perlu mematuhi dengan syarat-syarat ini.

Apabila lebih banyak penganiayaan pekerja asing dengan tidak mematuhi piawaian minima perumahan dan kemudahan dilaporkan, penting untuk kerajaan Perikatan Nasional bertindak untuk memastikan piawaian pekerja di Malaysia selari dengan Artikel 8 Persekutuan Perlembagaan mengenai kesaksamaan dan Konvensyen ILO R115 mengenai cadangan piawaian perumahan pekerja.

Menurut cadangan ILO: Perlu menjadi matlamat dasar kebangsaan dalam kerangka kerja dasar perumahan negara, penggalakkan pembinaan perumahan dan kemudahan komuniti yang berkaitan dengan tujuan untuk memastikan wujudnya perumahan yang mencukupi dan bertaraf baik yang memberikan keadaan kehidupan yang bersesuaian untuk semua para pekerja dan ahli-ahli keluarga mereka.

Keutamaan perlu diberikan kepada mereka yang memerlukan. Perhatian juga perlu diberikan kepada pemeliharaan, penaikan taraf, dan modenisasi kemudahan perumahan dan kemudahan komuniti sedia ada.

Penyediaan perumahan yang buruk adalah salah satu daripada 11 petanda sistem buruh paksa yang dinyatakan oleh ILO, memandangkan kemudahan perumahan dalam sesetengah industri diberikan atas budi bicara majikan tanpa sebarang konsultasi atau peduli terhadap hak pekerja untuk mendapatkan sekurang-kurangnya piawaian minima dalam perumahan dan kemudahan yang diberikan.

Oleh itu, reformasi struktural yang menyeluruh selari dengan cadangan daripada Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing penting untuk mengatasi masalah-masalah asas dalam isu piawaian minima perumahan dan kemudahan-kemudahan untuk pekerja asing.