Skip to content

RM 50 juta keuntungan dibayar kepada MyEG : Apa masalah menguruskan e-Khidmat sendiri?

Dalam zaman elektronik, ramai yang terpikat dengan e-Khidmat. Sudah pasti e-Khidmat ini memberi keselesaan dan penjimatan masa kepada pengguna. Golongan muda terutamanya yang fasih dengan ilmu komputer dan ‘smart phone’ lebih cenderung untuk memilih transaksi melalui e-khidmat.

Keputusan kerajaan untuk berganjak kepada sistem e-khidmat ini adalah sesuatu yang baik dan perlu dipergiatkan lagi. Ini adalah kerana pelanggan-pelanggan kerajaan boleh mendapat perkhidmatan yang diperlukan dengan lebih selesa tanpa pergi ke jabatan-jabatan kerajaan. Masalah-masalah ‘mini skirt’ dan pakaian menjolok mata juga tidak timbul.

Pelanggan-pelanggan kerajaan juga tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan. Masa produktif pelanggan-pelanggan tidak perlu dibazirkan di kaunter-kaunter perkhidmatan pelanggan di jabatan-jabatan kerajaan.

Idea untuk mengimplementasikan sistem e-khidmat harus di terima baik kerana inilah pola di seluruh dunia buat masa ini. Jika kita masih terikat dengan kaedah tradisional untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan, maka sudah pasti yang rugi adalah kita sendiri. Selain daripada itu, sistem lama itu memerlukan lebih ramai tenaga kerja. Ini akan membebankan kerajaan kerana kos pengurusan akan semakin meningkat.

Pelaksanaan e-khidmat akan mengurangkan penggantungan kepada tenaga kerja. Malah, e-Khidmat pada kebiasaanya memberi perkhidmatan yang cepat, tepat dan berkesan. Walaupun sistem e-Khidmat ini baik secara umumnya, tetapi ia juga mempunyai kelemahannya sendiri.

Kerajaan telah melancarkan e-Khidmat di beberapa agensi yang mustahak. Tetapi, yang menjadi pelik dan mencurigakan ialah cara pelaksanaannya. Kenapakah kerajaan perlu ‘out source’ e-Khidmat ini kepada pihak swasta? Kerajaan boleh menjimatkan kos dan meningkatkan keuntungan jika perkhidmatan ini dikendalikannya sendiri. Kenapa kerajaan mahu pihak swasta membuat keuntungan daripada perkhidmatan jabatan-jabatan atau agensi-agensi berkenaan?

MyEG adalah sebuah syarikat swasta yang mengendalikan urusan e-khidmat untuk pelbagai agensi kerajaan. Antaranya ialah semakan saman JPJ dan pembayaran saman, semakan mata KEJARA, Penjadualan dan pengambilan unian teori berkomputer, pengeluaran lesen belajar memandu, pembaharuan lesen memandu kompetan, pembaharuan lesen kenderaan motor, semakan saman trafik dan pembayaran, semakan gambar kesalahan trafik, semakan status kebangkrapan individu, semakan status pengulungan syarikat, permohonan untuk mengganti Mykad, pembaharuan permit pembantu rumah asing dan sebagainya.

Bukankah kerajaan berkemampuan untuk menguruskan semua ini melalui sistem e-khidmat yang diuruskan sendiri. Kenapa perkhidmatan ini harus di ‘Source out’? Dijangka keuntungan Syarikat MyEG yang mengendalikan e-Khidmat ini adalah RM50 juta bagi tahun 2015.