Kami anak Johor berasa amat kesal terhadap insiden keganasan di Permas semalam di mana sekumpulan samseng berbaju merah telah menyerang Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri Johor dari DAP yang sedang berucap dalam satu forum di sebuah kedai kopi.
Antara puak samseng berbaju merah termasuk dipercayai adalah ahli-ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang.
Insiden ganas bukan provokasi tetapi telah dirancang awal (premeditated)
Sebelum insiden keganasan tersebut, satu SMS telah disebarkan oleh satu pihak yang tidak bertanggungjawab dengan niat untuk berkumpul menghalang Saudara Lim Kit Siang daripada memasuki kawasan program demi mempertahankan “YAB MB”.
Berikut adalah sedutan SMS:
(sila rujuk lampiran)
Ini menunjukkan bahawa insiden ganas tersebut sudah dirancang awal dan bukannya provokasi.
Menteri Besar Johor Khaled Nordin harus bertanggungjawab terhadap insiden ganas tersebut.
Menteri Besar Johor YAB Dato’ Seri Khaled Nordin, yang juga merupakan Pengerusi UMNO Johor, pengerusi UMNO Bahagian Pasir Gudang dan ADUN Permas perlu bertanggungjawab terhadap insiden keganasan tersebut.
Jelas sekali samseng-samseng berbaju merah merupakan ahli dan penyokong beliau.
Khaled Nordin perlu mengambil tindakan terhadap samseng-samseng ini dengan serta merta dan memohon maaf daripada seluruh rakyat Johor dan Malaysia atas kejadian yang memalukan tersebut.
Tindakan ganas bertentangan dengan norma demokrasi dan budaya Malaysia
Jika Dato’ Menteri Besar tergugat dengan forum, maka beliau sewaranya menyertai program kami atau menganjurkan program beliau sendiri. Seharusnya forum – biar forum lawan forum, idea lawan idea, hujah lawan hujah kerana semua ini demi membina masyarakat yang madani.
Tetapi oleh kerana takut kalah pilihan raya, samseng-samseng yang menyokong Khaled Nordin telah menggunakan keganasan untuk melawan hujah. Ini bukan sahaja bertentangan dengan prinsip demokrasi yang kita amalkan di Malaysia malah sudah tersasar daripada nilai dan budaya masyarakat kita yang cintakan keamanan dan menolak keganasan.
Insiden keganasan Permas bukan yang pertama, UMNO tidak mewakili Islam dan Melayu
Rakyat Johor dan rakyat Malaysia akan ingat selama-lamanya insiden memalukan pada 5 Julai 2015 bersamaan dengan 18 Ramadhan 1436 Hijra di Permas tersebut.
Wakil-wakil rakyat telah digertak, dihina, dihalau malah dicederakan oleh samseng-samseng yang merupakan ahli dan penyokong UMNO.
Insiden ini bukan kali pertama UMNO Johor mengamuk dan bertindak luar batasan. Rakyat masih ingat lagi pada Ramadhan tahun lepas di mana ahli dan penyokong UMNO telah menghalau Ahli Parlimen Kluang merangkap pengerusi DAP Johor Saudara Liew Chin Tong dari Bazar Ramadhan apabila beliau melawat ke situ untuk mengedarkan buah kurma iftar.
Jelas sekali tindak tanduk UMNO yang tidak berhemah, sanggup bertindak ganas dan mencemar bulan Ramadhan menunjukkan bahawa parti ini langsung tidak mewakili Islam dan Melayu.
UMNO hilang arah
Dalam keadaan negara digugat dengan pelbagai skandal kewangan, di mana pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO, termasuk Perdana Menteri sendiri, didakwa terlibat dalam skandal NFC, PKFZ, 1MDB, MARA, dan rakyat ditindas dengan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (Goods and Services Tax, GST), UMNO Johor bagaikan bisu dan enggan membela nasib rakyat daripada rasuah dan penindasan cukai.
Sebaliknya UMNO Johor memilih untuk menjadi jaguh kampung, bertindak ganas, mencemar Ramadhan, mengaibkan diri sendiri dan membuli wakil-wakil rakyat yang bekerja keras menyuarakan masalah rakyat.
UMNO nampaknya sudah hilang arah. Dahulunya parti yang ditubuhkan oleh bangsawan dan negarawan Johor seperti Dato’ Oon Jaafar kini dianggotai oleh perasuah di peringkat atas dan samseng-samseng yang kerjanya mengertak, membuli dan menindas di peringkat bawah.
DAP tidak akan berundur daripada perjuangan rakyat, tetapi PDRM perlu bertindak
DAP tidak akan undur daripada terus bersuara untuk melawan rasuah pemerintah dan penindasan rakyat. Kami tidak akan dibisukan oleh tindakan samseng-samseng UMNO demi perjuangan rakyat yang dibawa selama ini.
Walaupun dalam insiden di Permas, ada antara pemimpin kami yang dihina dan ada yang dicederakan, namun tidak ada seorang pun ahli dan penyokong DAP yang membalas dengan keganasan. Selepas ini, kami berjanji siri jelajah Forum Kedai Kopi akan diteruskan seperti biasa.
Namun kami menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjamin keselamatan bukan sahaja wakil rakyat tetapi seluruh rakyat Johor dan rakyat Malaysia daripada samseng-samseng UMNO tersebut. Laporan polis telah dibuat sejak semalam, justeru, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap samseng-samseng Permas dengan kadar segera.
Banyak bahan bukti seperti gambar dan rakaman video telah diambil oleh orang awam dalam insiden keganasan semalam. Anggota PDRM turut berada di tempat kejadian dari awal lagi sebagai saksi kejadian. Kami percaya semua ini sudah cukup untuk PDRM mengambil tindakan terhadap penjenayah-penjenayah tersebut.