Pengumuman Menteri Kanan Pertahanan, YB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pembukaan semula sektor perdagangan dan pengedaran yang melibatkan kedai buku dan alat tulis, komputer dan telekomunikasi dan barangan elektrik dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah tidak munasabah.
Kerajaan Perikatan Nasional harus memberikan kelonggaran kepada kedai-kedai ini untuk beroperasi sepanjang tempoh Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengatasi kesukaran kepada guru, ibu bapa, pelajar dan orang awam untuk mendapatkan barang keperluan persekolahan dan pejabat tersebut.
Penutupan kedai buku dan alat tulis dan seksyen departmental store di pasaraya mall berlaku sejak perlaksanaan ‘Total Lockdown’ atau PKP 3.0 bermula 1 Jun 2021 hingga 28 Jun 2021. Dalam tempoh hampir 1 bulan telah memberi tekanan yang besar bukan sahaja kepada ibu bapa dan guru malah pelajar sekolah yang mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Walaupun peralihan dari kelas fizikal ke PdPR dapat mengurangkan risiko penularan Covid-19, alat tulis, bahan bacaan, bahan bantuan pengajaran dan pembelajaran serta perkhidmatan fotostat masih diperlukan bagi meningkatkan mutu dan prestasi pembelajaran.
Pembelian alat tulis dan kelengkapan pembelajaran melalui online hanya meningkatkan beban ibu bapa. Memandangkan perlaksanaan PKP dan sekatan jalan, penghantaran melalui kurier menjadi lambat dan tidak dapat sampai mengikut masa. Ibu bapa terpaksa membayar kos kurier lebihan untuk pembelian yang sedikit. Jadi, adalah tidak masuk akal masalah ini dibiarkan berlanjutan sehingga Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang tidak ditetapkan tempoh.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) harus bincang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menyelesaikan situasi pembelajaran dan kekangan yang dihadapi oleh pelajar dan ibu bapa. Pembukaan kedai-kedai ini harus disegerakan dan tidak dapat ditangguhkan sehingga menyebabkan pembelajaran terbantut.
Melihat sektor komputer dan telekomunikasi adalah sebahagian daripada essential dalam pembelajaran dan komunikasi zaman pandemik. Kedai-kedai ini harus dibuka segera menampung keperluan harian dan mengatasi segala masalah dalam sesi pembelajaran dan komunikasi.
Begitu juga bagi barangan elektrik, adalah tidak logik sektor ini ditutup sehingga tiada tempoh sedangkan pematuhan SOP boleh dikendali dengan efisen oleh pihak pengusaha. Bayangkan jika barangan elektronik di rumah rosak, semua tempat tidak buka, kehidupan harian keluarga tersebut menjadi tergendala.
Oleh kerana situasi Covid-19 yang tidak akan hilang, Kerajaan PN perlu segera meneliti semula masalah-masalah yang timbul berikutan penutupan sektor-sektor ini. Sekiranya tidak diselesaikan dengan segera, maka banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor ini akan menghadapi masalah aliran tunai, kerugian dan penutupan perniagaan seperti yang dijangka oleh Persatuan PKS Malaysia. Cara penyelesaian yang terbaik ialah membenarkan sektor-sektor ini dibuka semula.