Skip to content

Memanfaatkan sumber vaksin yang terhad untuk melawan varian baharu Covid-19

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah dilaksanakan hampir empat bulan. Jika kita lihat kadar vaksinasi semasa dan bekalan vaksin yang terhad di dunia, tidak pasti sama ada negara kita dapat mencapai sasaran iaitu 80 peratus imuniti kelompok atau ‘herd immunity’ pada hujung tahun ini.

Kerajaan sepatutnya memanfaatkan sumber vaksin yang terhad ini dengan mengubah strategi untuk membolehkan lebih ramai lagi orang menerima sekurang-kurangnya dos pertama bagi melawan varian Delta yang membimbangkan.

Mengikut maklumat baharu Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 7,039,072 dos vaksin diberikan menerusi PICK setakat 25 Jun. Daripada jumlah itu, seramai 5,072,714 orang menerima dos pertama atau 15.5 peratus daripada populasi negara, manakala 1,966,358 orang atau 6 peratus populasi negara sudah melengkapkan vaksinasi dengan dos kedua.

Syarikat farmaseutikal dari United Kingdom, AstraZeneca mendedahkan data yang menunjukkan bahawa vaksinnya berkesan terhadap varian Delta dan Kappa. Di samping itu, hasil kajian mereka menunjukkan bahawa satu dos vaksinnya berkesan kira-kira 70 peratus.

Kerajaan harus mengikut strategi negara lain seperti United Kingdom, Sepanyol, Jerman, Kanada dan Korea Selatan bagi mempertimbangkan untuk memberi vaksin AstraZeneca sebagai dos pertama. Sekiranya bekalan vaksin AstraZeneca tidak mencukupi, maka vaksin mRNA keluaran Pfizer-BioNtech diberikan sebagai dos kedua.

Memandangkan tempoh antara dos pertama dan kedua vaksin AstraZeneca adalah tiga bulan, tempoh itu adalah cukup masa untuk memulihkan bekalan vaksin yang terhad. Selain itu, sekurang-kurangnya tiga kajian terbaharu telah menunjukkan bahawa penggunaan dua vaksin berlainan adalah efektif untuk melawan varian-varian Covid-19.

Ekoran pengumuman Menteri Luar Jepun yang akan menyumbang sebanyak 1 jujta dos vaksin AstraZeneca kepada Malaysia mulai Julai, sudah pasti usaha ini dapat membantu dalam mengubah strategi vaksinasi negara kita. Diharapkan dengan ini, negara dapat mencapai sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus herd immunity menjelang akhir tahun dan pada masa yang sama, dapat mengekang varian Delta yang mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi itu.