Skip to content

Tidak ada alasan kenapa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan (Select Committees) tidak boleh bermesyuarat semula dengan serta merta

Jawatankuasa Khas Pemandu Persidangan Parlimen Secara Hibrid akan bermesyuarat pada 5 Julai ini. Namun, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parliamen (JK – Select Committees) masih tidak boleh bermesyuarat sejak pelaksanaan Darurat pada 12 Januari tahun ini.

Speaker Dewan Rakyat pada hari pertama pelaksanaan Darurat pernah memberikan jaminan bahawa Parlimen Malaysia akan terus menjalankan fungsinya dalam proses semak dan imbang dengan Jawatankuasa Pilihan Khas yang sedia ada.

Namun, Speaker Dewan Rakyat kemudiannya telah bertukar pendiriannya dan menyatakan PAC dan JK Parlimen tidak boleh bermesyuarat selagi Parlimen digantung, dengan berpaksikan suatu pandangan daripada Peguam Negara yang menyatakan PAC dan JK Parlimen tidak dijalankan dalam tempoh Parlimen digantung dalam apa bentuk sekalipun termasuk secara maya.

Ini menyebabkan mesyuarat dan prosiding PAC dan JK Parlimen telah lumpuh sejak 12 Januari dan tidak dapat menjalan fungsinya.

Dua hari lepas, Presiden Dewan Negara dan Speaker Dewan Rakyat memalui suatu Kenyataan Media Bersama telah memaklumkan kesediaan untuk bersidang pada bila-bila masa (Perenggan Pertama) namum mengambil kira keadaan semasa penyebaran wabak Covid-19, langkah-langkah perlu diambil dan maka tertubuhnya Jawatankuasa Hibrid Parlimen untuk meneliti aspek teknologi dan metodologi Sidang Parlimen.

Maka adalah jelas, dari segi undang-undang tidak ada apa-apa yang mengekang perjalanan Sidang Parlimen pada bila-bila masa, termasuk sebelum tamatnya Darurat pada 1 Ogos. Ini adalah selari dengan Titah Tuanku yang sebelum ini mengarahkan supaya Sidang Parlimen diadakan dengan serta merta.

Ini juga bermaksud bahawa PAC dan JK Parlimen tidak lagi dan tidak patut dikekang daripada menyambung semula mesyuarat dan prosiding yang ditangguhkan sebelum ini.

Dari segi pematuhan SOP kesihatan, Parlimen juga mempunyai fasiliti yang mencukupi dengan Bilik Mesyuarat Jawatankuasanya yang boleh menampung 65 orang dalam keadaan biasa, dan 30 orang dengan pematuhan SOP kesihatan.

Saya juga ingin menegaskan dalam Mesyuarat dan Prosiding PAC sejak bulan November 2020, Sekretariat PAC juga telah memastikan SOP kesihatan dipatuhi dengan mengehadkan Anggota-Anggota Sekretariat, Ahli-Ahli Ex-Offcio dan Pegawai-Pegawai Kementerian yang hadir dalam prosiding. Saksi-saksi yang hadir juga dikehendaki mengambil swab test sebelum hadir ke prosiding PAC pada Ketika itu.

Mesyuarat dan prosiding PAC dan JK Parlimen boleh dijalankan dengan cara biasa iaitu kehadiran kediri dengan pematuhan SOP kesihatan sementara menunggu pelaksanaan secara hibrid setelah isu-isu teknologi dan methodologi dimuktamadkan. Terlampau banyak masa telah dibazirkan dalam 6 bulan yang lepas. PAC Parlimen perlu meneruskan kerja-kerja penyelesaian kes-kes yang telah dimulakan oleh PAC Parlimen sebelum ini, penelitian Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang terkini dan penyemakan perbelanjaan Kerajaan dalam segala isu menangani pendemik Covid-19.

Speaker Dewan Rakyat harus dengan segera memberikan lampu hijau kepada PAC dan JK Parlimen untuk bermesyuarat semula. Tidak ada alasan kenapa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan (JK – Select Committees) tidak boleh bermesyuarat semula dengan serta merta.