Pada 30 November 2017, saya telah mendedahkan bahawa syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Sdn. Bhd. telah mendapat kontrak kerajaan pusat untuk menjadi pembekal komputer tablet kepada 430,000 guru di seluruh negara. Kos projek tersebut dijangka mencecah RM340 juta.
Saya telah melontarkan tiga soalan kepada kerajaan pusat:
- Mengapa sebuah syarikat surat khabar UMNO boleh dilantik menjadi pembekal komputer tablet?
- Jika beri kepada syarikat surat khabar sekalipun, mengapa beri kepada Utusan yang rugi duit tiap-tiap tahun sejak 2013 sehingga RM220 juta?
- Mengapa tiada tender terbuka untuk projek bernilai RM340 juta ini?
Harga tablet Utusan berbanding harga pasaran bagi tablet yang sama
Mengikut jawapan Parlimen daripada Timbalan Menteri Pendidikan, sebanyak 182, 712 unit komputer tablet telah diedarkan dengan kos sebanyak RM152 juta.
Dalam kata lain, setiap unit tablet dibekal oleh Utusan kepada kerajaan dengan harga RM832.
Mengikut maklumat yang diberi oleh seorang guru di Negeri Sembilan, komputer tablet yang diedarkan kepada mereka merupakan jenis Lenovo Tab3 7 Essential. Saya juga mendapatkan pengesahan daripada carian atas talian sebuah blog yang melaporkan tentang tablet tersebut.
Daripada laman web membeli belah popular, Lazada.com.my, Lenovo Tab3 7 Essential ini boleh dibeli dengan harga RM388.
Ini bermakna, kerajaan pusat telah membeli setiap tablet daripada Utusan dengan harga 114% lebih mahal daripada harga pasaran!
| Perkara | Jumlah (RM) |
| Harga di Lazada.com.my | RM388 |
| Harga Utusan | RM832 |
| Perbezaan harga | RM444 |
Jadual perbandingan harga Lenovo Tab3 7 Essential di Lazada.com.my dengan harga yang dikenakan oleh Utusan.
Perlu diingatkan bahawa RM388 ini merupakan harga pembelian runcit atas talian (online retail price). Jika kerajaan membeli secara borong sebanyak 430,000 unit, saya percaya harga yang lebih baik boleh diperoleh jika proses tender terbuka dilaksanakan.
Pecat Utusan sebagai pembekal tablet dan lantik syarikat baru melalui tender terbuka
Setiap tahun Jabatan Audit Negara mengetengahkan isu kerajaan membeli barang dengan harga yang terlampau tinggi berbanding harga pasaran. Kini perkara ini berulang untuk sebuah projek yang diumumkan oleh Perdana Menteri Najib Razak sendiri semasa membentangkan Bajet 2017 pada tahun lepas.
Budaya 3K UMNO-BN, iaitu, Korupsi, Kronisme, Kleptokrasi, tetap tidak berubah.
Saya menggesa agar kerajaan pusat serta merta menghentikan perkhidmatan syarikat Utusan sebagai pembekal tablet bantuan mengajar. Syarikat baru mestilah dilantik daripada kalangan syarikat yang berpengalaman serta melalui proses tender terbuka.