Skip to content

Tindakan UM adalah oppresif dan berniat jahat untuk menzalimi suara keramat mahasiswa/wi serta mencabuli hak perlembagaan mahasiswa/wi serta staf kampus

Tindakan UM melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya (HEP) serta Pejabat Naib Canselor telah membuat keputusan Penggantungan Mesyuarat Agung Tahunan dan Program/Aktiviti Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) sehingga 17 Disember 2017 serta Persatuan Bahasa Cina Universiti Malaya (PBCUM) bagi seluruh Semester 1 Sesi 2017/2018 adalah oppresif dan berniat jahat untuk menzalimi suara keramat mahasiswa/wi serta mencabuli hak perlembagaan mahasiswa/wi serta staf kampus.

Walaupun sudah hampir seminggu isu ini berlanjutan, adalah kesal bahawa pihak UM masih membisu dan tidak menunjukkan apa-apa hasrat untuk menarikbalik keputusan tersebut.

Sebelum Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) diperkenalkan, sesungguhnya semua mahasiswa/wi adalah berhak untuk mengadakan sebarang aktiviti mahupun program di seluruh kampus pada bila-bila masa sahaja, malah University of Malaya Students’ Union (UMSU) ketika itu turut mempunyai bangunan tersendiri serta menguruskan aspek kewangan dan berautonomi dalam segala keputusan kampus seperti pemberian tender kantin serta pengendalian bas.

Selepas AUKU dilaksanakan, bukan sahaja suara lantang mahasiswa/wi yang menuntut perubahan disekat, malah seluruh autonomi kampus telah diambil alih oleh agen kerajaan yakni HEP untuk mengawal segala tindak-tanduk warga varsiti serta melenyapkan segala suara bantahan mahasiswa/wi yang tidak berpihak kepada kerajaan UMNO BN.

DAPSY ingin menyatakan sekali lagi solidarity kita dengan PMIUM dan PBCUM serta mempertahankan kebebasan bersuara warga kampus. DAPSY berpendirian bahawa keputusan penggantungan bagi kedua-dua persatuan mahasiswa tersebut adalah tidak menghormati semangat kebebasan akademik serta Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan harus ditarik balik serta-merta.

Untuk Mahasiswa/wi yang berani, You will never walk alone. DAPSY akan memberikan sokongan penuh kepada kesemua kamu yang telah ditindas di bawah keputusan UM yang jelas tidak munasabah dan adil. Dengan itu, DAPSY akan mendapatkan endorsement daripada 36 Ahli-Ahli Parliament DAP untuk mendesak supaya pihak UM menarikbalik keputusan yang oppresif ini. Satu Memorandum akan diserahkan kepada pihak UM setelah kesemua endorsement diperolehi.