Skip to content

Semua jangkaan yang mengatakan kerajaan perpaduan Anwar akan tumbang sekiranya mereka berhadapan dengan kekalahan dalam enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos adalah sembang mengarut semata-mata, tetapi kemenangan untuk kerajaan perpaduan Anwar akan mengukuhkan dan menjayakan usaha untuk menetapkan semula dan mengembalikan negara kita kepada prinsip asal pembinaan sebuah Malaysia yang majmuk

Janji-janji dari para pemimpin parti-parti politik dari Sabah dan Sarawak untuk tidak menumbangkan kerajaan perpaduan Anwar di peringkat persekutuan telah menunjukkan yang semua jangkaan Perikatan Nasional (PN) bahawa Kerajaan Perpaduan Anwar akan tumbang sekiranya berhadapan dengan kekalahan dalam enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini hanyalah sembang mengarut semata-mata.

Bagaimanapun, tidak ada keraguan yang kemenangan untuk kerajaan perpaduan Anwar akan mengukuhkan dan meningkatkan kemungkinan kejayaan untuk negara kita ditetapkan semula hala tujunya dan dikembalikan kepada prinsip-prinsip asal pembinaan sebuah negara Malaysia yang majmuk seperti yang telah diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara (termasuklah tiga Perdana Menteri terawal negara yang juga merupakan Presiden UMNO) ke dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.

Apakah keputusan yang bakal dilihat pada 12 Ogos ini?

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yakin yang gabungan tersebut boleh menang sekurang-kurangnya 33 kerusi dari 56 kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor dalam pilihan raya pada bulan hadapan, dan dia juga tidak mengetepikan kemungkinnan kemenangan majoriti dua pertiga di DUN Selangor.

Tetapi, gabungan PN juga yakin untuk membentuk Kerajaan Negeri Selangor yang akan datang.

Perkara yang sama juga terpakai di Pulau Pinang.

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, telah mengatakan yang PN boleh menang “hampir 20 kerusi” di Pulau Pinang dan tidak menolak kemungkinan untuk memenangi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, manakala gabungan penyandang sedia ada berharap untuk memenangi majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 12 Ogos.

Namun, apa yang jelas adalah, tidak kiralah apa pun keputusan enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini, kerajaan perpaduan Anwar di peringkat persekutuan tidak akan tumbang.

Malah, satu Sidang Khas Parlimen akan berlangsung pada bulan September selepas pilihan raya di enam negeri pada 12 Ogos ini.