Bernama telah melaporkan bahawa Menteri Besar Perak Dato Seri Saarani akan menghadap Sultan Perak pada jam 2 petang hari ini untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak.
Saya ingin menyeru Dato Seri Saarani supaya jangan bertindak terburu-buru dalam pembubaran DUN Perak kerana akta anti-lopat parti Perak belum dibentangkan dan diluluskan.
Negeri Perlis telah mengumumkan akan membentangkan akta anti-lopat parti pada esok, hari Khamis dan meluluskannya sebelum DUN dibubarkan.
Berdasarkan Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Perkara 8.
“Dengan syarat bahawa dalam keadaan tergempar, notis itu tidak diperlukan, dan dalam keadaan demikian notis itu hendaklah dikeluarkan seberapa segera yang boleh.”
Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Perak telah memberi kuasa kepada Menteri Besar Perak untuk memanggil Sidang Dun Tergempar tanpa sebarang notis.
Dato Seri Saarani boleh memanggil satu sidang DUN tergempar untuk membentangkan akta anti-lopat parti, membahaskannya dan meluluskan penggubalan perlembagaan negeri dalam sehari, selaras dengan penggubalan perlembagaan persekutuan akta anti-lopat parti. Saya yakin penggubalan perlembagaan negeri akta anti-lopat parti ini boleh mendapat sokongan lebih 2/3 daripada ahli DUN Perak.
Kerajaan Negeri Perak yang sah telah dijatuhkan dua kali dalam 11 tahun oleh pengkhianatan dan ahli DUN melompat parti.
Kali pertama pada tahun 2009, di mana 3 ADUN dari Pakatan Rakyat keluar dari parti masing-masing menjadi adun bebas dan menyokong Barisan Nasional untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat.
Pengkhianatan kedua berlaku pada tahun 2020, di mana beberapa orang adun telah mengalih sokongan dan menyebabkan Kerajaan Pakatan Harapan tumbang.
Oleh itu, Negeri Perak wajib meluluskan akta anti-lopat parti sebelum DUN Perak dibubarkan untuk mengelakkan peristiwa pahit ini berulang lagi.