Terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua kerana memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan Negeri Pahang bagi tahun 2023 yang telah berjaya dibentangkan oleh YAB Menteri Besar pada hari Jumaat yang lepas.
Sepanjang tempoh 4 tahun lebih yang lalu, kita menyaksikan peralihan kuasa di peringkat persekutuan, dari Barisan Nasional ke Pakatan Harapan, kemudiannya kepada Perikatan Nasional dan kembali semula jawatan Perdana Menteri kepada Parti UMNO.
Banyak projek telah dibentangkan atau diumumkan ketiga-tiga Kerajaan tersebut. Ada yang jadi, ada yang belum lagi.
Hari ini saya ingin mengimbas semula projek-projek yang belum disempurnakan setakat ini.
Pertama, Jalan Pintasan Cameron Highlands yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 2020 bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands.
Kedua, Projek Menaik Taraf Jalan dari Bulatan McDonald ke Persimpangan Brinchang / Time Tunnel dan membina One Way Loop di Kea Farm, Cameron Highlands, Pahang dengan anggaran kos sebanyak RM142,920,000.00 dilaksanakan dalam tempoh Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP2, RMKe-12) tahun 2022.
Ketiga, Projek pembinaan Klinik Kesihatan jenis 4 dengan Kuarters di Kampung Raja, Cameron Highlands yang diumumkan dalam Belanjawan Persekutuan 2020.
Keempat, Projek Menaiktaraf Jalan dan Jambatan Fasa Kedua di Kampung Terisu, Cameron Highlands oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Kelima, Projek Menaiktaraf Jalan di perkampungan POS Lemoi oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Keenam, usaha mencapai liputan telekomunikasi dan Internet 100% untuk semua perkampungan di seluruh Cameron Highlands sejajar inisiatif Jalinan Digital Negara atau Jendela.
Ketujuh, inisiatif mencapai bekalan elektrik 100% di seluruh Cameron Highlands.
Saya difahamkan projek-projek tersebut tidak sempat disempurnakan atas faktor-faktor seperti kos perbelanjaan yang tinggi, kajian teknikal atau kajian kebolehlaksanaan mengambil masa yang panjang.
Namun, saya berharap Kerajaan Negeri dan jabatan kerajaan berkenaan boleh terus berusaha mengangkat permohonan ke peringkat persekutuan untuk memastikan projek tersebut boleh dilaksanakan secepat mungkin.
Perkara yang boleh memanfaatkan rakyat, haruslah kita usaha sama-sama tanpa mengira parti.
Pembaharuan Institusi
Kelapan, saya berharap Dewan yang mulia ini boleh mengiktiraf kan kedudukan Ketua Pembangkang dan memberikan peruntukan yang setara ADUN Kerajaan kepada ADUN Pembangkang.
Kesembilan, melibatkan ADUN Pembangkang dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD) dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bagi memastikan setiap ADUN boleh melaksanakan tugas dengan berkesan.
Kesepuluh, sidang Dewan perlu bertindak bagi meminda Undang-undang Tubuh Negeri Pahang bagi menggubal undang-undang melarang Ahli Dewan Undangan Negeri melompat parti selaras dengan pindaan RUU berkenaan di peringkat persekutuan.
Sekian, terima kasih.