Enam pilihan raya negeri telah pun berakhir sepuluh hari yang lepas, namun, keputusannya masih sedang dianalisa oleh ahli politik, saintis politik, dan rakyat Malaysia secara amnya, dan mengenai apa yang dibawanya kepada Malaysia – sama ada Langkah Sheraton 2.0 boleh dicuba untuk menumbangkan kerajaan perpaduan Anwar.
Seorang saintis politik mengatakan yang kekuatan PAS dan DAP yang semakin meningkat berpunca dari kegagalan kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional yang bersifat pertengahan (centrist) sejak tahun 1990, dengan isu-isu seperti kepimpinan yang lemah, tadbir urus yang tidak bagus, dan rasuah. Dia mengatakan yang sekiranya para pemimpin pertengahan ini menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik, mereka pastinya akan kekal.
Saya tidak bersetuju dengan analisa yang meletakkan DAP di satu hujung dalam spektrum politik bertentangan dengan PAS sedangkan DAP sentiasa merupakan salah satu parti sentris di Malaysia.
Presiden PAS, Hadi Awang, cuba untuk meletakkan DAP di hujung ekstrim spektrum politik, dengan tuduhannya yang mengatakan kononnya DAP ini anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, pencetus rusuhan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur, dan juga komunis. Tetapi dia gagal untuk memberikan satu bukti sekali pun untuk tuduhan liar dan tidak masuk akalnya ini.
DAP adalah satu parti untuk semua rakyat Malaysia.
Sejak dari pilihan raya umum pertama yang ditandingi DAP pada tahun 1969, kami meletakkan calon-calon berbilang kaum di peringkat Parlimen dan Dewan Undang Negeri, dan sebelum Pilihan Raya Umum 1974, DAO mengumumkan yang sekiranya DAP menang di Perak, Ibrahim Singgeh akan menjadi Menteri Besar Perak.
Saya telah dituduh sebagai seorang yang anti-Cina kerana DAP mencalonkan Ahmad Nor dalam pilihan raya kecil Gopeng pada tahun 1987. Tetapi Ahmad Nor kemudiannya menjadi Ahli Parlimen Melayu pertama untuk DAP pada tahun 1990, dan hari ini, ada tiga orang Ahli Parlimen Melayu dari DAP.
Saya ucapkan tahniah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin kerana telah dipilih sebagai Exco Melayu DAP pertama di Selangor, dan seperti yang ditunjukkan oleh mantan Timbalan Menteri, Ong King Ming, dalam penulisannya baru-baru ini, DAP mampu untuk menang di kerusi majoriti Melayu dan Sungai Pelek yang merupakan kerusi 60% majoriti Melayu adalah satu contoh yang baik.
Kami telah mewujudkan jawatan Timbalan Ketua Menteri kedua untuk orang India di Malaysia pada tahun 2008, dan DAP ada C.V. Devan Nair sebagai Setiausaha Agung penubuhan parti dan Karpal Singh sebagai Pengerusi Kebangsaan DAP yang ketiga.
Saya seru kepada semua golongan muda rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang kaum, agama, politik, atau kawasan, untuk menyokong cita-cita untuk Malaysia bangkit semula sebagai sebuah negara hebat dunia dan untuk kita mengelakkan nasib dari menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup seperti Sri Lanka dalam dekad-dekad yang akan datang.