Skip to content

Seruan kepada para pengundi di Banting dan Selangor untuk membantu memimpin usaha untuk menyelamatkan Malaysia dan membawa perubahan untuk menjadi sebuah negara bertaraf dunia di mana rakyat Malaysia dapat menjadi juara dunia semula

Enam pilihan raya negeri di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Terengganu pada awal bulan hadapan bukan sahaja akan menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan di negeri-negeri ini untuk lima tahun yang akan datang, tetapi juga akan menentukan sama ada kita boleh menyelamatkan Malaysia dari menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup dalam dekad-dekad yang akan datang.

Pilihan raya ini bukan sahaja akan menentukan masa hadapan Banting dan Selangor, tetapi juga masa hadapan Malaysia dan masa hadapan anak-anak serta cucu-cucu kita.

Kerajaan perpaduan Anwar ini adalah peluang terakhir untuk kita selamatkan Malaysia untuk kembali semula kepada prinsip-prinsip Malaysia majmuk yang diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara (termasuklah tiga Perdana Menteri terawal negara yang juga merupakan Presiden UMNO) ke dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.

Malangnya, kita telah terpesong dari prinsip-prinsip pembinaan negara Malaysia majmuk ini dalam beberapa dekad yang lepas, ke arah hala tuju menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup dalam beberapa dekad yang akan datang.

Kerajaan perpaduan Anwar tidak akan tumbang serta merta sekiranya senario terburuk sekalipun berlaku dalam enam pilihan raya negeri pada bulan hadapan, tetapi perkara ini akan menandakan pengakhiran usaha hebat untuk menyelamatkan Malaysia dari menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup.

Kegagalan ini akan menjadi penamat usaha untuk menjadikan Malaysia hebat semula, untuk mebolehkan rakyat Malaysia menjadi juara dunia sekali lagi, dan untuk memastikan Malaysia menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.

Tidak ada mana-mana parti politik atau individu yang sempurna, dan sentiasa akan ada kelemahan, kesilapan, dan kegagalan dalam kerajaan perpaduan Pakatan Harapan di Selangor. Tetapi kelemahan, kesilapan, dan kegagalan ini boleh diperbetulkan sekiranya gabungan Pakatan Harapan – Barisan Nasional dipilih semula, kerana kita ingin melihat Selangor dan Malaysia menjadi tempat yang lebih baik dengan tadbir urus yang baik dan pengurangan kesenjangan dan kezaliman dalam masyarakat.

Sebaliknya, sekiranya Perikatan Nasional yang dibentuk oleh PAS dan Bersatu berjaya dalam menumbangkang gabungan PH-BN di Selangor pada bulan hadapan, kekurangan, kesilapan, dan kegagalan ini tidak akan dapat diperbetulkan dan negeri ini akan berada dalam hala tuju ke suatu masa hadapan yang dibelenggu perpecahan, gagal, dan korup.

Atas sebab inilah saya seru para pengundi di Banting dan Selangor untuk membantu memimpin usaha menyelamatkan Malaysia dan membawa perubahan supaya negara kita dapat menjadi sebuah negara yang bertaraf dunia di mana rakyat Malaysia dapat menjadi juara dunia sekali lagi, kerana kita sebenarnya mampu menjadi sebuah negara yang hebat sekiranya kita bersatu padu dengan matlamat dan tindakan yang dikongsi bersama.

Seorang rakyat Malaysia telah memenangi anugerah Oscar baru-baru ini dan kita mahu untuk memenangi Piala Thomas sekali lagi, untuk menyerlah dalam acara-acara Olimpik, mempunyai sekolah, universiti, dan hospital yang terbaik di dunia, dan juga sistem politik serta ekonomi yang terbaik yang boleh membina sebuah Malaysia yang progresif, adil, dan makmur untuk semua rakyat Malaysia.

Saya agak bimbang mengenai Selangor sebelum saya hadir ke majlis makan malam ini, tetapi selepas menyaksikan kehadiran besar para penyokong malam ini, saya semakin yakin.

Tetapi, seperti pepatah orang Cina, kita tidak bimbang dengan “It Wan” (perkara yang pasti) tetapi kita takut dengan “Wan It” (perkara yang di luar jangkaan).

Satu-satunya cara untuk mengelakkan “Wan It” dengan Menteri Besar Selangor dari PAS atau Bersatu pada bulan hadapan adalah dengan memastikan terdapatnya kadar keluar mengundi yang tinggi di Selangor – lebih tinggi dari kadar keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada tahun lepas atau Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018.

Oleh itu, saya seru kepada semua pengundi di Banting dan Selangor, tanpa mengira kaum, agama, umur, atau jantina, untuk keluar beramai-ramai mengundi dan untuk menggesa para pengundi luar kawasan untuk pulang Selamatkan Selangor dan Malaysia!