Skip to content

Seruan kepada para pengundi di enam negeri pada hari Sabtu ini untuk mengundi semua calon Pakatan Harapan/Barisan Nasional untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat dunia dan mengelakkan bencana di mana Malaysia menjadi sebuah negara yang gagal, berpecah belah, dan korup dalam dekad-dekad yang akan datang

Kempen ini adalah satu peristiwa yang bersejarah atas beberapa sebab.

Ini adalah lawatan kali pertama saya ke Teluk Bahang.

Ini juga adalah kali pertama saya bercakap dengan pimpinan MCA dan UMNO tempatan.

DAP dan Barisan Nasional sudah menjadi musuh politik untuk 50 tahun yang lepas, tetapi perkara ini tidak sepatutnya menjadikan kita musuh di tahap peribadi.

Namun, kita semua tidak pernah jangkakan yang kita akan bekerjasama dan berada dalam satu gabungan yang sama, membantu satu sama lain.

Dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI), negara kita melalui tiga Perdana Menteri UMNO selama 22 tahun dari 1995 hingga 2021 untuk jatuh dari tempat ke-23 dari 41 negara sejak carta ini diterbitkan pada tahun 1995 ke tempat ke-62 dari 180 negara pada tahun 2017, tetapi, Muhyiddin hanya memerlukan 10 bulan dari 1 Mac ke 31 Disember 2020 untuk menyebabkan negara kita jatuh 11 anak tangga dari tempat ke-51 pada tahun 2019 ke tempat ke-62 dalam TI CPI 2020 selepas dia menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan melalui konspirasi politik Langkah Sheraton.

Pada tahun 2016, Muhyiddin meminta saya untuk mendapatkan sokongan DAP terhadapnya untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi saya telah beritahunya yang DAP telah komited untuk menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Dengan rekodnya mengenai rasuah semasa dia menjadi Perdana Menteri “pintu belakang”, tindakannya yang menggantung sidang Parlimen sehingga tidak ada tadbir urus baik dan tidak ada semak imbang Parlimen terhadap pihak Eksekutif dapat dilaksanakan, dan salah guna kuasa yang berlaku, Muhyiddin tidak sesuai untuk menjadi Perdana Menteri untuk sebuah Malaysia yang majmuk.

Kita juga bertuah Hadi Awang tidak menjadi Perdana Menteri Malaysia, kerana dia terbukti sebagai ahli politik utama yang paling banyak menggunakan penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian – dan saya masih menanti untuk dia membuktikan fitnah-fitnahnya yang dilemparkan kepada saya, yang mengatakan kononnya saya ini anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, pencetus rusuhan 13 Mei 1969, dan seorang komunis. Sekiranya Hadi tidak boleh membuktikan tuduhan-tuduhan liar dan palsu ini, adakah dia akan menariknya semula dan meminta maaf?

Anwar Ibrahim dengan rancangan Ekonomi Madaninya telah menggariskan matlamat-matlamat seperti berikut, yang mana jika berjaya, akan mengangkat kedudukan Malaysia untuk menjadi sebuah negara hebat dunia:

  • Menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia dari segi kadar keluaran dalam negara kasar. Malaysia buat masa ini berada di tempat ke-35.
  • Berada dalam kedudukan 12 teratas dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD. Kita sedang berada di tempat ke-27.
  • Tempat 25 ke atas dalam Indeks Pembangunan Manusia PBB. Tempat semasa adalah ke-62.
  • Tempat 25 ke atas dalam Indeks Persepsi Rasuah. Tempat semasa adalah ke-61.

Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk PAS dan Bersatu mahu Malaysia untuk mundur 500 tahun ke belakang dan menafikan hak-hak kaum dan agama lain di Malaysia.

Mereka patut belajar dari tokoh-tokoh kemerdekaan negara seperti tiga Perdana Menteri terawal negara, yang juga merupakan Presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, dan Tun Hussein Onn yang menerima bahawa Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang dibentuk oleh masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya.

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah jangka untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15. Tetapi, alternatif di mana PH dan BN tidak bekerjasama yang membawa kepada sama ada Muhyiddin atau Hadi menjadi Perdana Menteri adalah terlalu mengerikan untuk dibayangkan, dan perkara ini juga bertentangan dengan titah nasihat Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong.

PH dan BN bekerjasama demi kepentingan negara dan bukannya kepentingan sendiri.

Malah, demi memastikan Malaysia dapat bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia, DAP patut bersedia untuk bekerjasama dengan ahli-ahli dan para penyokong Bersatu dan PAS juga.

Kita perlu utamakan kepentingan negara, ingat semula kepada apa yang cuba diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara sebagai asas kepada sebuah negara majmuk yang berjaya dengan menyatukan pelbagai kaum, agama, dan budaya untuk bekerjasama dan hidup bersama – tokoh-tokoh kemerdekaan ini adalah tiga Perdana Menteri terawal negara, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn (yang mana semuanya juga adalah Presiden UMNO), dan juga tokoh-tokoh lain seperti Tun Ismail, Tun Tan Cheng Lock, dan Tun V. T. Sambanthan.

Calon BN–PH untuk Teluk Bahang adalah Ahmad Zaki Shah Haedan.

Kita bukan sahaja mahu Zaki untuk menang di Teluk Bahang pada 12 Ogos, tetapi kita juga mahu semua calon PH/BN untuk menang di keenam-enam negeri pada hari Sabtu ini, kerana saya percaya yang ahli-ahli dan para penyokong PH dan BN mahu melihat Malaysia bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia dan bukannya menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup.

Marilah kita jadikan keperluan satu nilai baik. Kita bekerjasama demi kepentingan Malaysia, supaya Malaysia dapat menjadi sebuah negara hebat sekali lagi.