Skip to content

Seruan kepada para pengundi di Selangor untuk mengundi gabungan PH–BN pada 12 Ogos dengan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia demi anak-anak dan cucu-cucu kita

Semalam, saya berada di Sungai Pelek untuk berkempen bersama dengan calon Pakatan Harapan, Lwi Kian Keong, dan pagi ini saya telah ke tiga kawasan dewan undangan negeri bersama dengan calon-calon Pakatan Harapan – Preakas Sampunathan di Kota Kemuning, Dr. Quah Peng Fei di Bandar Baru Klang, dan Leong Tuck Chee di Pandamaran.

Saya menyeru kepada para pengundi di Selangor untuk mengundi gabungan PH–BN pada 12 Ogos dengan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia demi anak-anak dan cucu-cucu kita.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini telah membentangkan visinya untuk Malaysia dalam rancangan Ekonomi Madani yang antaranya berhasrat untuk mencapai matlamat-matlamat seperti berikut:

  • Menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia dari segi kadar keluaran dalam negara kasar. Malaysia buat masa ini berada di tempat ke-35.
  • Berada dalam kedudukan 12 teratas dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD. Kita sedang berada di tempat ke-27.
  • Tempat 25 ke atas dalam Indeks Pembangunan Manusia PBB. Tempat semasa adalah ke-62.
  • Tempat 25 ke atas dalam Indeks Persepsi Rasuah. Tempat semasa adalah ke-61.

Marilah kita semua tunjukkan sokongan kepada Anwar.

Untuk beberapa dekad yang lepas, Malaysia telah menyaksikan kemerosotan kedudukan negara kita, ditinggalkan di belakang Singapura, Taiwan, Korea Selatan, Hong Kong, malah Vietnam juga.

Kita berada dalam bahaya ditinggalkan di belakang China, Indonesia, dan India dalam masa terdekat ini. Kita akan ditinggalkan di belakang Indonesia dan China dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International sebelum tahun 2030 sekiranya kita tidak meningkatkan usaha membanteras rasuah.

PAS dan Bersatu dalam PN tidak mempunyai apa-apa rancangan untuk membangkitkan semula Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, sebaliknya, hanya ada dasar yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup.

Malah, di bawah pemerintahan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada tahun 2020, selepas konspirasi politik Langkah Sheraton, Malaysia telah jatuh ke kedudukan terburuk dalam TI CPI 2021 dalam masa hanya setahun, perkara yang sebelum ini mengambil masa 25 tahun dari 1995 ke 2020, iaitu tempat ke-62 dari 180 negara.

Saya seru para pengundi di Selangor untuk mengundi gabungan PH–BN pada 12 Ogos, bukan setakat untuk mematahkan rancangan PN untuk memenangi kuasa di negeri Selangor, tetapi juga untuk memasang cita-cita untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia demi masa hadapan anak-anak dan cucu-cucu kita.

Semua rakyat Malaysia, baik Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak, Muslim, Buddha, Kristian, Hindu, Tao, atau Sikh, perlu bersatu padu sebagai rakyat Malaysia untuk menyelamatkan negara kita dari menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup – yang merupakan hasil rancangan PN – dan inilah sekurang-kurangnya perkara yang dapat kita lakukan demi anak-anak dan cucu-cucu kita.