Skip to content

Seruan kepada semua calon dan parti politik dalam enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos untuk menyatakan sokongan mereka terhadap rancangan Ekonomi Madani supaya Malaysia dapat bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia

Separuh dari tempoh berkempen telah berlalu untuk enam pilihan raya negeri yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini.

Menurut satu tinjauan pendapat, Pakatan Harapan–Barisan Nasional dijangkakan kalah dengan 8,000 undi di Batang Kali, kalah dengan 4,200 undi di Hulu Bernam, dan hanya menang dengan 2,600 undi di Kuala Kubu Baharu.

Saya tidak pasti sama ada tinjauan pendapat ini boleh dipercayai tetapi menjadi tugas kita dalam minggu terakhir kempen pilihan raya sehingga 12 Ogos ini untuk kita bekerja keras dan memberikan penjelasan kepada rakyat supaya Pakatan Harapan–Barisan Nasional dapat menang di kedua-dua kerusi di Batang Kali dan Hulu Bernam dan untuk kita meningkatkan majoriti kemenangan di Kuala Kubu Baharu kepada 5,000 undi.

Kita tidak boleh biarkan undi berpecah kerana pertarungannya adalah di antara gabungan PH–BN dan Perikatan Nasional (PN) – pertarungan di antara Malaysia sebagai sebuah negara hebat dunia atau sebagai sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup.

Saya sendiri berharap supaya status quo 3-3 dapat dikekalkan dalam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini, tetapi Perikatan Nasional menyasarkan kemenangan 6-0 dalam keputusan pada 12 Ogos ini. Rancangan PN untuk kemenangan bersih 6-0 ini perlu diambil serius dan kerana inilah semua pengundi di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan,dan Terengganu tidak boleh setakat keluar mengundi dan memastikan anak-anak dan sanak saudara mereka pulang mengundi, mereka juga perlu bersama-sama berkempen untuk menjelaskan kepentingan adanya kadar keluar mengundi yang tinggi pada 12 Ogos untuk mengelakkan kemenangan 6-0 oleh PN ini.

Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok, telah meminta anda semua untuk mengundi dan menyelamatkan Selangor.

Saya meminta anda semua mengundi untuk menyelamatkan Malaysia.

Dalam beberapa dekad yang lepas, kedudukan Malaysia semakin merosot, kita telah ditinggalkan di belakang Singapura, Taiwan, Korea Selatan, Hong Kong, malah Vietnam.

Kita berada dalam bahaya ditinggalkan di belakang Indonesia dan Thailand di kawasan serantau ASEAN, memandangkan kita membangun separuh lebih perlahan berbanding dengan Indonesia dan Thailand dalam enam puluh tahun yang lepas.

Kita akan ditinggalkan di belakang Indonesia dan China dalam penerbitan tahunan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) menjelang 2030 sekiranya kita tidak meningkatkan usaha membanteras rasuah.

Dari tahap sebagai sebuah negara hebat dunia, kita telah jatuh menjadi sebuah negara biasa-biasa sahaja. Adakah kita akan terus merosot lagi menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup seperti Sri Lanka dalam beberapa dekad yang akan datang?

Kita mesti selamatkan bukan sahaja Selangor, tetapi Malaysia!

Buat kali pertama dalam abad ke-21, kita ada seorang Perdana Menteri yang faham visi Malaysia sebagai sebuah negara hebat dunia.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengumumkan visinya untuk Malaysia dalam rancangan Ekonomi Madani yang antaranya mempunyai matlamat-matlamat seperti berikut:

  • Menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia dari segi kadar keluaran dalam negara kasar. Malaysia buat masa ini berada di tempat ke-35.
  • Berada dalam kedudukan 12 teratas dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD. Kita sedang berada di tempat ke-27.
  • Tempat 25 ke atas dalam Indeks Pembangunan Manusia PBB. Tempat semasa adalah ke-62.
  • Tempat 25 ke atas dalam Indeks Persepsi Rasuah. Tempat semasa adalah ke-61.

Malah, di tempat bersejarah di Kuala Kubu Baru ini, saya ingin menyeru kepada semua calon dan parti politik dalam enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini, untuk mengisytiharkan sokongan mereka terhadap Ekonomi Madani Anwar Ibrahim supaya Malaysia dapat bangkit semula menjadi sebuah negara hebat.

Bagaimanakah mereka dapat mendakwa diri mereka sebagai seorang rakyat yang patriotik dan cintakan negara sekiranya mereka menentang visi untuk menghentikan kemerosotan negara supaya Malaysia dapat bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia?

Sekiranya mereka tidak menyokong Ekonomi Madani Anwar ini, bolehkah mereka bentangkan rancangan mereka untuk membolehkan Malaysia bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia, atau adakah mereka sebenarnya mahu melihat Malaysia terus berada dalam hala tuju ke arah sebuah negara berpecah belah, gagal, dan korup?

Saya sudah berusia 82 tahun dan saya sudah bersara dari barisan hadapan pimpinan politik DAP dan Pakatan Harapan. Tetapi saya masih gusar – sebagai seorang rakyat Malaysia yang patriotik – mengenai bagaimana untuk kita hentikan kemerosotan negara kita dan untuk kita bangkit semula sebagai sebuah negara hebat dunia.

Tiga Perdana Menteri terawal – Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, dan Tun Hussein Onn – yang juga merupakan Presiden UMNO, faham mengenai matlamat untuk Malaysia menjadi sebuah negara hebat dunia.

Ketika era merekalah Malaysia telah memenangi Piala Thomas dan pasukan hoki Malaysia layak untuk ke Olimpik. Bolehkah kita kembalikan era kegemilangan arena sukan Malaysia dan juga bidang-bidang lain seperti ini?

Rakyat Malaysia tidak anti kepada mana-mana kaum atau agama, tetapi saya telah dituduh sebagai anti kepada Melayu, Islam, Raja, kononnya sebagai pencetus rusuhan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur, malah dituduh juga sebagai seorang komunis.

Saya telah berfikir mengenai tuduhan tidak berasas terhadap saya ini.

Satu perkara kekal pelik mengenai tuduhan ini.

Saya telah aktif berpolitik selama 58 tahun sejak penghujung tahun 1965.

Untuk 35-38 tahun pertama kehidupan politik saya, tuduhan sebegini tidak pernah dibuat.

Hanya dalam 20 tahun yang lepas sahaja saya dituduh sebegini.

Adakah saya bukan seorang anti Melayu, Islam, dan Raja, pencetus rusuhan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur, dan seorang komunis dalam 35-38 tahun pertama kerjaya politik saya, tetapi menjadi sebegini dalam 20 tahun terakhir kerjaya politik saya, bermula dengan apabila filem Tanda Putera cuba menunjukkan yang kononnya saya telah kencing di tiang bendera di kediaman Menteri Besar Selangor pada 13 Mei 1969 sedang saya sedang berada di Kota Kinabalu ketika itu?

Jawapannya mudah. Dalam 35-38 tahun terawal kewujudan DAP, parti-parti politik Melayu tidak melihat DAP sebagai ancaman walaupun kami terus berpegang kepada prinsip kami mengenai satu pergerakan politik yang mewakili semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan. Kerana inilah sejak dari pilihan raya umum pertama yang disertai DAP pada tahun 1969, DAP telah meletakkan calon Melayu dan bukan Melayu di kerusi-kerusi DUN dan Parlimen.

Parti-parti politik Melayu merasakan DAP tidak dapat memenangi sokongan orang Melayu.

Tetapi dalam 20 tahun yang lepas, terdapat perubahan besar dalam pemikiran politik dan semakin ramai orang Melayu juga percaya dengan ideologi DAP bahawa Malaysia adalah untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, asalkan mereka komited sebagai rakyat Malaysia.

Kami mencatatkan sejarah pada tahun 1990 dengan Ahmad Nor dipilih sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru. Dalam pilihan raya umum 2013, dua orang Ahli Parlimen Melayu DAP menang – Zairil Khir Johari untuk Bukit Bendera dan Mohd Ariff Sabri bin Abdul Aziz untuk Raub. Ada seorang Ahli Parlimen DAP menang dalam PRU 2018, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, di Raub. Dan tiga orang Ahli Parlimen DAP Melayu dalam PRU 2022, Syahredzan bin Johan, Bangi, Young Syefura Othman, Bentong, dan Syerleena Abdul Rashid, Bukit Bendera.

Dalam 20 tahun yang lepas, DAP dilihat sebagai ancaman yang bersaing dengan parti-parti politik Melayu untuk sokongan orang Melayu dan momokan terhadap DAP sebagai kononnya anti Melayu, Islam, dan Raja, kononnya pencetus rusuhan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur, dan kononnya komunis telah dilampirkan sebagai reaksi defensif mereka untuk menghalang DAP dari mendapat sokongan orang Melayu.

Namun, perkara ini adalah seperti kisah King Canute dan Ombak dan pilihan raya pada 12 Ogos ini akan menentukan sama ada akan adanya kestabilan politik dan perpaduan nasional dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, dan kawasan untuk menjadikan Selangor dan Malaysia sebagai contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia dan sama ada Malaysia mampu untuk bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia.

Malaysia tidak boleh bangkit semula tanpa sokongan dari semua rakyat Malaysia dari semua latar belakang kaum dan agama.

Pada 12 Ogos, para pengundi di keenam-enam negeri ini akan mengundi bukan sahaja untuk menentukan siapa ADUN mereka, siapa yang akan mentadbir negeri mereka untuk lima tahun yang akan datang, tetapi mereka juga akan mengundi demi masa depan anak-anak dan cucu-cucu mereka, untuk menyelamatkan Malaysia supaya Malaysia dapat menjadi sebuah negara hebat dunia.

Atas sebab ini, enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini lebih penting berbanding dengan Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022.