Skip to content

Siapakah calon Perdana Menteri UMNO?

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak dinasihatkan supaya tidak bersikap ‘kumbang di seberang nampak tetapi gajah di depan mata tidak nampak’. Ini ditimbulkan apabila sekali lagi menteri UMNO menimbulkan isu calon bakal Pendana Menteri oleh Pakatan (PH) sekiranya ia berjaya ke Putrajaya apabila memenangi Pilihanraya Umum ke 14 Malaysia (PRU14).

Menurut laporan media, beliau dilaporkan berkata, ‘daripada terus berjanji, adalah baik bagi pakatan pembangkang menamakan dahulu perdana menteri pilihannya’. Perkara ini jelas menunjukkan sikap pemimpin- pemimpin Barisan Nasional (BN) terutamanya UMNO yang suka mengalihkan pandangan rakyat daripada terus menyelesaikan masalah dalaman mereka.

Persoalan pertama, adakah pemimpin-pemimpin dalam BN berkuasa menentukan siapa pilihan Perdana Menteri mereka? Sekiranya pemimpin-pemimpin utama dalam BN tidak berani atau tidak berkuasa dalam menentukan calon Perdana Menteri pilihan mereka, sekurang-kurangnya pemimpin-pemimpin dalam UMNO harus menamakan calon Perdana Menteri mereka sekiranya BN memenangi PRU 14. Ini selaras dengan prinsip atau alasan yang selalu dilaung laungkan oleh pemimpin-pemimpin BN bahawa rakyat harus tahu mengenai siapa calon Perdana Menteri supaya mereka tidak tertipu dalam pilihan mereka.

Dalam keadaan pemimpin-pemimpin UMNO berkata PH harus bersikap bertanggungjawab dan telus dalam menyatakan pilihan Perdana Menteri mereka, konsep yang sama harus diaplikasikan kepada UMNO dan BN. Siapakah calon Perdana Menteri UMNO? Adakah Dato Seri Najib akan kekal sebagai perdana menteri atau Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengantikan beliau? Atau pun Dato Seri Hishammuddin yang baru-baru ini dilantik sebagai Menteri Tuga-tugas Khas akan menjadi Perdana Menteri melangkaui Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi?

Adakah Dato Seri Najib masih layak dan mampu mengekalkan kedudukannya selepas kekecohan yang ditimbulkan oleh 1MDB kepada ekonomi, politik dan perundangan Malaysia? Adakah beliau masih layak menyandang jawatan Perdana Menteri dengan peranan beliau dalam 1MDB? Walau apa pun pilihan mereka, pemimpin-pemimpin UMNO tentu faham mereka perlu menjelaskan kepada rakyat sebab dan logik pilihan mereka. Sekiranya Najib kekal berkuasa, maka seluruh UMNO perlu menjawab kepada rakyat kenapa mereka memilih seorang yang dikelilingi pelbagai skandal dengan 1MDB menjadi masalah utamanya.