Pihak berkuasa menyatakan bahawa juruterbang yang ditahan di Indonesia telah melalui pemeriksaan keselamatan di KLIA seperti biasa dan mesin pengimbas tidak mengesan sebarang imej yang mencurigakan.
Jika benar semua prosedur keselamatan telah dipatuhi, tiada alasan untuk rakaman CCTV ketika suspek menjalani pemeriksaan dan bagasinya diimbas di KLIA tidak didedahkan kepada umum.
Rakyat tidak sepatutnya diminta menerima kenyataan rasmi semata-mata. Rakaman CCTV itu merupakan bukti paling jelas untuk menunjukkan bagaimana pemeriksaan tersebut dijalankan dan sama ada semua prosedur keselamatan benar-benar dipatuhi.
Saya menggesa pihak berkuasa menyiarkan rakaman CCTV yang berkaitan dengan segera, secara penuh dan tanpa sebarang suntingan yang boleh menjejaskan konteks kejadian. Sekiranya terdapat bahagian yang benar-benar sensitif, bahagian tersebut boleh dikaburkan tanpa menyembunyikan keseluruhan proses pemeriksaan.
Ketelusan akan melindungi keyakinan rakyat terhadap keselamatan KLIA. Siarkan rakaman itu dan biarkan rakyat melihat serta menilai sendiri.