Skip to content

Sokongan padu kepada pergerakan mahasiswa dan kebangkitan anak muda dalam BERSIH 4.0

Saya menyokong sepenuhnya pergerakan mahasiswa yang telah mendahului dalam perhimpunan BERSIH 4.0. Sekumpulan daripada mahasiswa tersebut yang menggelar diri mereka sebagai #LangkahSiswa telah menduduki jalan masuk ke Parlimen pada 25 Ogos 2015 dan 16 orang daripada mereka telah ditahan polis.

Pada petang 26 Ogos 2015, sekumpulan lagi mahasiswa telah mengambil tempat mereka di kedudukan yang sama di jalan masuk ke Parlimen walaupun memahami risiko pembulian dan penindasan oleh penguasa.

Sebagai Ahli Parlimen, saya tidak ada masalah, malah mengalu-alukan kehadiran anak-anak muda ini di Parlimen. Saya ingin menegaskan bahawa setiap warganegara Malaysia berhak berhimpun di mana-mana tempat awam secara aman termasuk di Parlimen sekalipun.

Justeru, saya menyeru agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera membebaskan kesemua mahasiswa dan aktivis yang ditahan setakat ini.

Peringatan kepada PDRM: Jangan mengasari anak muda, jangan menganiaya rakyat

Saya menyeru kepada PDRM agar tidak mengasari anak-anak muda tersebut ataupun sesiapa sahaja yang berhimpun secara aman, terutamanya semasa BERSIH 4.0 nanti.

Saya ingin memberi peringatan tegas kepada PDRM bahawa tugas mereka bukan untuk menganiaya rakyat tetapi untuk melindungi rakyat Malaysia.

Perkara 10 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan Malaysia menjamin hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata kepada semua warganegara Malaysia. Justeru, PDRM sepatutnya mempertahankan peruntukan undang-undang tertinggi negara kita dan hak warganegara yang termaktub dalam undang-undang tersebut.

Peringatan kepada pihak Universiti: Jangan jadi pencacai rejim

Saya juga berasa kecewa atas tindakan tidak bermoral Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor Universiti-universiti Awam dan beberapa buah universiti tempatan yang mengeluarkan kenyataan mengugut mahasiswa yang menyertai BERSIH 4.0.

Ketua-ketua universiti ini telah hilang kredibiliti dan moral mereka apabila mereka membenarkan diri menjadi jurucakap dan orang suruhan kepada rejim melalui cubaan membantutkan kebebasan dan kemerdekaan berfikir para mahasiswa kita.

Adalah lebih baik ketua-ketua universiti ini memberikan fokus kepada usaha menaikkan taraf institut pengajian tinggi di Malaysia daripada menjadi pencacai rejim.

Pada ambang ulangtahun kemerdekaan ke-58 tanah air kita, amat sedih melihat rejim UMNO-Barisan Nasional bertindak mengekang hak demokratik rakyat semata-mata untuk mengekalkan kuasa mereka. Tiada makna merdeka jika rakyat masih dikongkong oleh penjajah berkulit sama.

Ayuh anak muda, bangkit dan jadi rakyat merdeka!