Menteri Kesihatan Dr S Subramaniam perlu memberi penjelasan mengapa bantuan perubatan dibatalkan memandangkan peruntukan bagi Kementerian Kesihatan naik 9.5% atau RM1.7 bilion dari RM26.58 ke RM27 bagi tahun ini.
Ini berikutan pekeliling daripada Jabatan Kewangan Hospital Kebangsaan Malaysia yang bertarikh 28hb Januari 2018. Menurut pekeliling tersebut, tatacara dan perlaksanaan ketetapan dan kadar caj dialisis dan unit nefrologi telah dipinda, menyatakan semua rawatan dialisis di HCTM, PPUKM adalah berbayar bagi semua kategori pesakit sama ada pesakit dalam atau luar kecuali pegawai Perkhidmatan Awam yang masih berkhidmat. Sebelum ini, penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) adalah diberi pengecualian bayaran bagi kategori berkenaan. Perdana menteri ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, antara lain mengumumkan sebanyak RM2.5 bilion diperuntukkan bagi bekalan ubat-ubatan dan RM1.6 bilion untuk barangan “consumable” dan sokongan perubatan tetapi dengan pekeliling ini, ia bercanggah.
Seorang pesakit bertaraf OKU yang berumur 29 tahun mengadu kepada saya bahawa beliau dimaklumkan tidak akan diberikan pengecualian caj rawatan ‘plasmapheresis + variants’ yang bernilai RM1500 setiap sesi mulai 1hb Februari 2018. Pesakit ini terpaksa menjalani 1 kali rawatan seminggu dan ia merupakan beban yang sangat berat.
Kerajaan sepatutnya membantu meringankan beban rakyat tetapi kini apa yang berlaku adalah sebaliknya. Mana RM42 bilion yang dikutip melalui cukai zalim GST? Saya mendesak Subramaniam memandang serius perkara ini dan memperbetulkan keadaan yang membimbangkan ini dengan serta merta agar rakyat tidak menderita.