DAPSY mengutuk sekeras-kerasnya kekecohan yang dicetuskan oleh ahli-ahli UMNO di Kg. Bakar Batu, Johor Bahru sempena program bersantai bersama pimpinan Pakatan Harapan di Warung Hafiz malam tadi.
Program ini telah dapat persetujuan oleh pemilik Warung Hafiz dan adalah tidak wajar pihak UMNO memberikan tekanan politik serta ugutan kepada pemilik tersebut.
Adalah amat kesal bahawa ‘politik gangster’ masih diamalkan oleh pihak UMNO pada tahun 2018 dan tidak pernah ditegur oleh pemimpin UMNO sendiri.
Kami mendesak Ahli Parlimen Johor Bahru serta pemimpin UMNO Shahrir Samad memberi penjelasan dan meminta maaf kepada Saudara Lim Kit Siang dan pimpinan Pakatan Harapan Johor Bahru atas insiden malam tadi.
Saya masih ingat semasa Pilihanraya Kecil Teluk Intan pada tahun 2014, kami berkempen di sebuah pasar malam bersama calon saudari Dyana Sofya dan Sdr Lim Kit Siang sehingga sekumpulan ahli UMNO menyuruh kita keluar daripada kawasan tersebut secara agresif. Saudara Lim mengucapkan ‘terima kasih’ kepada mereka dan berjalan keluar dengan tenang dan sabar.
Mungkin Shahrir Samad patut turun padang dengan lebih kerap walaupun sibuk ‘membersihkan’ nama FELDA yang dilandai pelbagai skandal.
Kelakuan sebegitu oleh ahli-ahli UMNO malam tadi hanya menunjukkan bahawa UMNO semakin bimbang dan takut akan Pengaruh Pakatan Harapan di Johor.
Jika Perdana Menteri selaku Presiden UMNO Najib Razak adalah seorang ‘gentleman’, beliau patut menegur ahli-ahli UMNO sendiri atas kelakuan mereka malam tadi dan juga meminta maaf.
Kami daripada DAP bersama rakan-rakan Pakatan Harapan akan meneruskan program-program bersama rakyat di mana-mana kawasan seluruh Malaysia. Saudara Lim Kit Siang adalah seorang yang tabah hati dan kental menerima cabaran daripada pelbagai musuh politik sepanjang karier politik beliau.
Oleh itu, sebarang tindakan provoktif tidak akan membawa apa-apa hasil. Sebaliknya akan merugikan UMNO sendiri.