Skip to content

Syabas dan tahniah kepada ketiga-tiga athlet Abdul Latif Romly, Ridzuan Mohamad Puzi dan Ziyad Zolkefli yang mengharumkan nama Malaysia

Rakyat negara Malaysia menerima hadiah paling istimewa sempena sambutan Hari Raya Aidiladha bila tiga athlet paralimpik negara memenangi pingat emas buat julung kalinya dalam Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro. Tiga pingat emas ini dalam Paralimpik Rio bukan sahaja mencipta rekod dunia tetapi juga memberikan galakan bahawa athlet Malaysia boleh mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa, bukan sekadar jaguh kampong tetapi boleh jadi jaguh dunia.

Syabas dan tahniah kepada ketiga-tiga athlet Abdul Latif Romly, Ridzuan Mohamad Puzi dan Ziyad Zolkefli yang mengharumkan nama Malaysia. Akhirnya pihak kerajaan persekutuan boleh menampakkan sedikit kejayaan dalam bidang sukan. Mungkin pihak Kementerian Belia dan Sukan boleh mengkaji rahsia kejayaan mereka agar ia dapat diulangi di kalangan athlet dalam Sukan Olimpik akan datang di Tokyo pada 2020.

Pada masa yang sama seorang wanita yang berasal dari Pulau Pinang, Professor Dr Muzlifah Haniffa daripada Newcastle University di England, juga mengharumkan nama Malaysia dan Pulau Pinang dengan mendapat Lister Institute Research Prize Fellowship pada bulan Mei atas kajiselidik beliau dalam sistem immunologi. Hadiah ini sebanyak £200,000 (RM1.09mil) diawadkan untuk beliau menjalani kajian selidik immunologi yang lebih mendalam, hanya diberikan kepada para saintis yag paling terkemuka.

Kerajaan negeri Pulau Pinang amat bangga dengan kejayaan Professor Dr Muzlifah dan akan meraikan pencapaian terunggulnya bila beliau pulang ke pulau mutiara sebagai suatu pengiktirafan kepada prestasi cemerlang ini. Syabas dan tahniah kepada Professor Dr Muzlifah yang memberikan keyakinan bahawa Malaysia dan Pulau Pinang Boleh!

Selamat Menyambut Hari Raya Haji Aidiladha!