Skip to content

Tanpa skandal RM50 bilion 1MDB, tidak ada keperluan untuk GST dan gaji minima boleh ditingkatkan kepada RM1,200 setiap bulan untuk dilaksanakan secara sama rata di kedua-dua Semenanjung serta Sabah dan Sarawak

DAP menggesa supaya gaji minimum dinaikkan kepada RM1,200 setiap bulan dan dilaksanakan secara sama rata di kedua-dua Semenanjung serta Sabah dan Sarawak. Namun, pekerja asing tidak seharusnya tertakluk kepada peraturan ini untuk sekurang-kurangnya 5 tahun bagi membolehkan majikan tempatan, terutamanya dalam perusahaan kecil dan sederhana (SME) mempunyai masa untuk menyesuaikan diri.

Dengan kenaikan kadar kos sara hidup dan kos tambahan yang diakibatkan oleh pelaksanaan GST, gaji minima sekarang sebanyak RM1,000 bagi Semenanjung dan RM920 bagi Labuan, Sabah dan Sarawak adalah terlalu rendah. Sekiranya gaji penjawat awam boleh dilaraskan secara bulanan untuk menjadi lebih dari RM1,200, tidak ada sebab kenapa pekerja sektor awam tidak boleh mendapat manfaat yang serupa.

Kerajaan Persekutuan juga wajar menawarkan bantuan kewangan yang sebaiknya kepada majikan tempatan dan SME untuk menangani kenaikan kos daripada pelaksanaan gaji minima. Tanpa kos yang terlibat dengan skandal RM50 bilion 1MDB, dana untuk majikan dan pekerja tempatan pastinya mudah didapati.

Keingkaran pertama kali dalam sejarah sebanyak USD1.75 bilion oleh sebuah entiti kerajaan (1MDB) boleh membawa kepada pembayaran hutang sebanyak 0.5% daripada KDNK

DAP mengecam keingkaran pertama kali dalam sejarah oleh sebuah entiti kerajaan, 1MDB sebanyak USD1.75 bilion yang boleh membawa kepada pembayaran hutang sebanyak 0.5% daripada KDNK, International Petroleum Investment Corporation (IPIC) telah menjamin USD3.5 bilion daripada bon 1MDB dan berjanji untuk membayar faedah sebanyak USD50 juta. Wujud keingkaran apabila USD50 juta ini tidak dibayar tepat pada masanya.

Sebagai ganti, 1MDB pula sepatutnya memindahkan beberapa aset dan membuat bayaran berjumlah berbilion dolar kepada Aabar milik IPIC, yang anehnya tidak pernah diterima oleh IPIC. Kenyataan 1MDB mengesahkan keingkaran bon USD1.75 bilion membawa kesan melampaui pemegang bon sahaja. Ini adalah keingkaran yang tidak pernah terjadi dalam sejarah sebuah entiti kerajaan, yang badan penasihatnya dipengerusikan Perdana Menteri sendiri, kerana ia akan memulakan keingkaran bersilang berjumlah berbilion dolar dalam bon dan pinjaman kerajaan yang lain.

Moody’s Investor Service menganggarkan Malaysia mungkin akan terpaksa membayar jumlah yang bersamaan dengan 0.5% daripada KDNK. Lebih teruk lagi jika liabiliti luar jangka negara akibat keingkaran 1MDB diambil kira, anggaran Moody itu boleh mencecah USD 7.5 bilion (RM30 bilion). Ini bersamaan 2.5% daripada KDNK Malaysia bagi tahun 2015.

Atas sebab ini, skandal RM50 bilion 1MDB adalah kos yang sangat besar bagi rakyat Malaysia. Tanpa skandal RM50 bilion 1MDB, tidak ada keperluan untuk GST. Tanpa skandal RM50 bilion 1MDB, gaji minima boleh ditingkatkan kepada RM1,200 setiap bulan untuk semua rakyat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak (dengan tempoh penangguhan lima tahun pengeculian pekerja asing), bersama bantuan kewangan bagi membolehkan majikan tempatan menyesuaikan diri.